Jangan mudah terpedaya tawaran visa haji- Polis

Jangan mudah terpedaya tawaran visa haji- Polis

Ramli Mohamed Yoosuf
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Orang ramai khususnya bakal jemaah haji diingatkan supaya berhati-hati dengan tawaran pakej visa mujamalah atau furada yang semakin berleluasa, terutama menjelang musim haji tidak lama lagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam keterujaan rakyat Malaysia untuk menunaikan ibadah haji, wujud pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan dengan menawarkan visa tersebut secara tidak sah.

“Kira-kira tiga bulan dari sekarang, musim haji bagi tahun Hijrah 1446 atau 2025 Masihi akan bermula. 

“Dalam tempoh ini, pihak polis percaya akan ada cubaan penipuan membabitkan visa haji furada atau mujamalah sebagaimana yang berlaku sebelum ini.

Menurutnya, berdasarkan rekod, sebanyak 44 kes penipuan haji dan umrah telah disiasat sepanjang tahun 2024 dengan nilai kerugian berjumlah RM890,810.  

“Manakala, bagi tahun ini sahaja, sebanyak 17 kes telah direkodkan sehingga 2 Februari dengan jumlah kerugian mencecah RM364,620 dalam tempoh lima minggu,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, di sini hari ini.

Menurut Ramli, visa furada dan mujamalah merupakan visa yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi kepada individu tertentu dan tidak termasuk dalam kuota rasmi haji yang diperuntukkan kepada Malaysia.

“Visa tersebut sangat terhad, mahal dan hanya dikeluarkan pada saat akhir, tertakluk kepada keputusan kerajaan Arab Saudi berdasarkan keadaan semasa di sana.

“Ketidakpastian inilah yang membuka ruang kepada sindiket penipuan untuk mengaut keuntungan dengan menawarkan pakej tidak wujud,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar hanya berurusan dengan agensi yang sah seperti Lembaga Tabung Haji bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

“Kita tidak mahu melihat lagi kejadian jemaah yang tertipu, terpaksa bersimpuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menunggu penerbangan yang tidak wujud.

“Disebabkan itu, lebih baik memastikan visa diperoleh terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang risiko,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya