KEPALA BATAS : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggesa pasangan suami isteri yang ingin menimang zuriat supaya tidak malu untuk mendapatkan rawatan kesuburan.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, isu kesuburan bukan hanya berpunca daripada isteri semata-mata, malah, suami turut berdepan dengan masalah sama dan perlu diberikan perhatian agar impian membina sebuah keluarga dapat direalisasikan.
“Biasanya, kalau masalah susah nak mengandung ni, selalunya ditujukan kepada wanita sahaja, tetapi, hakikatnya, lelaki juga berdepan masalah sama. Maka, saya mahu galakkan supaya membuat rawatan supaya tahap kesuburan ditingkatkan. Melalui cara ini, kadar kelahiran dapat ditambah di negara ini,” katanya selepas melancarkan Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini, hari ini.
Katanya, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM6 juta melalui Belanjawan 2025 bagi membiayai dua kitaran rawatan kesuburan Permanian Beradas (IUI) secara percuma kepada 1,300 pasangan yang layak, malah LPPKN turut merekodkan kehamilan pertama melalui program program BuAI pada 18 Februari lalu.
“Pencapaian ini amat bermakna kerana ia bukan hanya menandakan langkah penting dalam perjalanan kehidupan pasangan terbabit malah membuktikan program ini mampu memberikan sokongan yang diperlukan mereka yang sukar mendapatkan cahaya mata,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan ibu bapa mengawal anak-anak daripada membeli ‘jajan’ atau makanan ringan yang boleh mendatangkan bahaya.
“Guru juga disaran untuk membantu memantau bagi memastikan murid-murid tidak makan sembarangan yang dikhuatiri memudaratkan,” katanya. – UTUSAN