KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keamanan negara perlu dipertahankan dan tidak boleh diganggu oleh mana-mana pihak.
Oleh itu, tegas Perdana Menteri, rakyat tidak boleh membiarkan mana-mana pihak cuba mengganggu keamanan negara kerana kestabilan dan keharmonian adalah kunci kepada kemajuan negara.
“Jangan izinkan orang lain rosakkan keamanan negara kita.
“Saya mendoakan agar semua diberikan keselamatan. Negara selamat, rakyat selamat, ekonomi baik dan pendapatan naik.
“Hanya dengan suasana yang aman, kita dapat terus membangunkan negara dan memastikan kesejahteraan semua lapisan masyarakat,” katanya ketika merasmikan Malaysia Sarong Music Run 2025 (MSMR 2025) di Menara Berkembar Petronas (KLCC), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, penganjuran acara itu bukan sahaja memupuk gaya hidup sihat, tetapi turut mengeratkan hubungan rakyat pelbagai kaum melalui warisan budaya yang terkenal di rantau Melayu.
“Pemakaian sarung ini mempunyai nilai budaya yang signifikan dan terkenal dalam rantau Melayu. Namun, apa yang lebih penting adalah semangat yang dibawa, bukan sekadar pemakaiannya.
“Matlamat acara ini sihatkan tubuh hadan. Kedua, semangat persahabatan di antara rakyat. Acara ini ada budayanya, terkenal di seantero rantau Melayu,” katanya.
Anwar turut menyertai acara berjalan kaki sejauh tiga kilometer bersama peserta lain yang terdiri daripada 10,500 orang dari seluruh negara.
MSMR 2025 menawarkan dua kategori utama iaitu acara berjalan kaki tiga kilometer dan larian lima kilometer.
Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif. – UTUSAN