KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi menjalinkan kerjasama dengan syarikat perladangan utama seperti FGV Holdings Berhad dan SD Guthrie untuk menarik minat pekerja tempatan ke sektor perladangan.
Menterinya, Datuk Johari Abdul Ghani, berkata, kerjasama strategik ini bakal melahirkan lebih ramai pakar mesin serta juruteknik penuaian (machine specialist dan harvesting technician) bagi memenuhi keperluan tenaga kerja industri perladangan.
“Kerjasama ini akan membolehkan lebih ramai tenaga kerja tempatan mendapat latihan berkualiti serta peluang pekerjaan yang lebih terjamin dalam industri perladangan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta yang memintanya menjawab apakah langkah kementerian itu bagi menggalakkan penggunaan tenaga kerja tempatan dalam sektor ini.
Mengulas lanjut, Johari berkata, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan teknologi Revolusi Industri Keempat (4IR) seperti internet untuk segalanya (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) dalam operasi ladang bagi meningkatkan kecekapan serta daya saing sektor ini.
“Dengan pengaplikasian teknologi moden, pekerjaan dalam sektor perladangan akan lebih sistematik, produktif dan menarik untuk golongan muda,” katanya.
Johari berkata, untuk memperkukuh tenaga kerja tempatan, kerajaan turut menawarkan kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melalui Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM).
“Antara kursus utama yang ditawarkan ialah Kursus Mekanisasi Operasi Ladang (KOML), yang turut mendapat akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya.
Kata Johari, kerajaan turut mengadakan program “Place and Train” atau latihan dan penempatan dengan syarikat perladangan bagi memastikan penempatan pekerjaan kepada warga tempatan yang menyertai sektor ini.
“Kerajaan komited untuk memastikan sektor perladangan berkembang maju dengan penglibatan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing,” katanya. – UTUSAN