REMBAU: Kerajaan diminta menyegerakan kerja-kerja naik taraf jalan Persekutuan antara Sungai Gadut, Seremban ke Pedas di sini daripada dua lorong kepada empat lorong, sebagai langkah mengatasi isu kesesakan.
Penduduk, K. Marappan, 72, berkata, dia yang sudah tinggal di Ladang Hentian Tinggi sejak 70 tahun lalu melihat sendiri pertambahan jumlah kenderaan yang ketara dari tahun ke tahun.
“Jalan ini memang sudah lama begini, hujung tahun 1970 jarang-jarang kereta lalu, jalan pun kecil sahaja. Selepas itu ada beberapa kali naik taraf, jalan jadi makin lebar.
“Permulaan tahun 1990, sudah ramai yang mempunyai kereta serta motosikal. Sekarang pada hari Sabtu, Ahad, cuti perayaan memang terlalu banyak kenderaan hingga mahu melintas pun susah.
“Ini belum campur kehadiran kenderaan-kenderaan berat lagi kerana ini merupakan laluan utama. Memang patut jalan ini dinaik taraf jadi empat lorong, dua lorong dari arah Seremban dan dua lorong dari arah Rembau,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris berkata, isu naik taraf jalan tersebut telah dibawa kepada perhatian pihak berwajib kerana sememangnya terdapat keperluan mendesak.
“Kerajaan negeri telahpun memberi maklum balas akan membuat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan memandangkan lokasi jalan tersebut merupakan Jalan Persekutuan.
“Saya dimaklumkan sebelum ini kerja-kerja naik taraf dilakukan secara berperingkat dari Seremban ke Sungai Gadut dan peringkat seterusnya pula adalah dari Sungai Gadut ke Pedas,” katanya. – UTUSAN