Jakim panggil, siasat pencipta kandungan menyimpang ajaran agama - Utusan Malaysia

Jakim panggil, siasat pencipta kandungan menyimpang ajaran agama

SIRAJUDDIN Suhaimee (tengah) bersama murid SK Menora pada pelancaran Kampung Menora sebagai Kampung Angkat Madani Jakim di Kuala Kangsar, Perak hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memanggil beberapa individu atau pempengaruh untuk disiasat kerana disyaki mencipta atau menyampaikan kandungan yang menyimpang daripada ajaran Islam dalam media sosial.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, jabatan sedang berusaha untuk mengawal penyebaran kandungan maklumat yang tidak betul.

“Ya, mana yang kita dapat kenal pasti bahawa ia menyimpang jauh ataupun dikategori sebagai ajaran sesat, kita panggil untuk dapatkan maklumat terperinci,” katanya selepas melancarkan Kampung Angkat Madani Jakim di Kampung Menora di sini hari ini.

Tambahnya, mereka yang dipanggil untuk siasatan adalah ramai tetapi beliau tidak dapat berkongsikan bilangan yang terbabit.

Jelasnya, pihak Jakim sendiri telah menyediakan saluran untuk menjawab dan menjelaskan sebarang maklumat atau fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar dalam media sosial.

Imam Besar Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak), Abd. Farid Salleh semasa penganjuran Nadwah Pemikiran Islam 2025 pada minggu lalu bercakap tentang cabaran bagaimana kecanggihan media sosial membolehkan sesiapa sahaja bercakap soal agama tanpa sekatan termasuk yang bertentangan dengan manhaj Ahli Sunah Wal Jamaah (ASWJ).

Mengenai gerakan ajaran sesat, Sirajuddin berkata hal itu dalam pemantauan Jakim dan jabatan agama Islam negeri-negeri.

“Kita minta umat Islam berhati-hati dalam menerima apa jua ajaran atau ideologi oleh kumpulan-kumpulan yang bertemu dengan mereka,” katanya.

Sementara itu mengenai Kampung Menora diiktiraf sebagai Kampung Angkat Madani Jakim, beliau berkata usaha itu dibuat untuk memberi faedah kampung tersebut yang terletak lebih 15 kilometer pendalaman dari pusat bandar Kuala Kangsar.

Jelasnya, usaha pembangunan akan dirancang bagi meningkatkan taraf ekonomi dan sosial kampung termasuk memastikan golongan muda mempunyai pekerjaan yang baik. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya