PETALING JAYA: Jemaah Menteri hari ini bersetuju bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh memberikan nasihat kepada umat Islam di Malaysia berkaitan keperluan menjaga akidah ketika mengikuti majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang membabitkan unsur-unsur keagamaan.
Menerusi satu kenyataan bersama antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, namun nasihat tersebut tidak bersifat dasar.
Kata kenyataan itu, Jemaah Menteri juga mengingatkan bahawa setiap dasar yang dirangka perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.
“Mesyuarat telah meneliti mengenai kekeliruan berkaitan cadangan tersebut. Perkara ini berbangkit susulan beberapa pertanyaan daripada umat Islam tentang jemputan ke majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang mungkin melibatkan unsur-unsur keagamaan.
“Bagi memberi panduan kepada umat Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengambil inisiatif membangunkan garis panduan tersebut,” katanya, hari ini.
Pada masa sama, Kementerian Perpaduan Negara terus menyemarakkan pelaksanaan Dialog Harmoni bagi memperkukuhkan keharmonian dan menggalakkan interaksi antara penganut pelbagai agama di negara ini.
“Perbincangan yang inklusif dengan mengambil kira sensitiviti semua pihak adalah amat penting dalam membina kesepaduan nasional,” katanya
Justeru tambah kenyataan, segala perkara berkait rapat dengan keharmonian antara penganut agama akan dibincangkan secara lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) yang dipengerusikan bersama.
“Untuk makluman, Mesyuarat JK HARMONI Bil 1/2025 turut dijadualkan pada bulan ini akan mendengar segala pandangan ahli – ahli yang terdiri 24 wakil penganut agama (Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, Tao, Baha’i),” katanya.
Kenyataan menegaskan, Malaysia sebagai sebuah negara kaya dengan kepelbagaian telah lama menjadi contoh perpaduan dan keharmonian kepada dunia.
“Kerajaan Madani menyedari bahawa kestabilan negara bergantung kepada kesejahteraan rakyat yang hidup dalam suasana yang aman dan harmoni,” katanya.-UTUSAN