JAIPk mulakan siasatan imam tidak baca teks khutbah Jumaat - Utusan Malaysia

JAIPk mulakan siasatan imam tidak baca teks khutbah Jumaat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah memulakan siasatan terhadap imam masjid di negeri ini yang didakwa tidak membacakan teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Timbalan Pengarah JAIPk, Zakaria Abd. Razak berkata, siasatan awal terhadap individu itu dijalankan Isnin lalu selepas menerima laporan daripada pihak polis.

Katanya, siasatan terhadap individu itu dibuat di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Masjid Negeri Perak 2018.

“Pegawai masjid perlu mematuhi arahan JAIPk dengan membaca teks khutbah rasmi yang disediakan.

“Ini penting untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan jemaah dan memastikan mesej yang disampaikan selari dengan garis panduan agama serta pihak berkuasa,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, khutbah rasmi adalah bertujuan untuk memastikan rukun-rukun khutbah yang lengkap, menyatukan umat Islam dan bagi menyelaras penyebaran maklumat dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu katanya, pegawai masjid harus menghormati pihak berkuasa agama kerana JAIPk bertanggungjawab menentukan kandungan khutbah yang sesuai.

“Pegawai masjid harus menunaikan amanah dengan baik dan mengikuti peraturan yang ditetapkan.

“Mereka perlu memastikan garis panduan JAIPk dipatuhi agar khutbah yang disampaikan memberi manfaat, menjaga keharmonian umat dan mengelakkan perpecahan.

“Sekiranya kesalahan ini berulang, tindakan selanjutnya akan diambil selaras dengan peraturan sedia ada,” katanya.

Pada Ahad lalu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim membuat laporan polis mengenai tindakan seorang imam di sebuah masjid di Teluk Intan yang didakwa enggan membaca teks khutbah Jumaat disediakan JAIPk.

Laporan polis itu dibuat setelah imam terbabit mengakui membaca teks khutbah disediakan pada tahun 2023, bukan teks khutbah terkini.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis daripada dua individu di Balai Polis Teluk Intan dan keterangan daripada mereka telah diambil berkaitan isu berkenaan.

Menurut beliau, laporan polis itu telah dirujuk kepada JAIPk untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung tindakan seorang khatib di sebuah masjid di Parit Buntar yang didakwa tidak membacakan teks khutbah Jumaat disediakan JAIPk sebaliknya membaca teks khutbah yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Tajuk teks khutbah Jumaat di semua masjid di Perak adalah ‘Keburukan Fitnah: Pengajaran Dari Peristiwa Al-Ifki’ manakala di Pulau Pinang pula bertajuk ‘Muhasabah di Bulan Sya’ban’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya