KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang menjadikan setiap sekolah di negara ini sebagai pangkalan hadapan terutama di negeri-negeri yang terkesan dengan bencana banjir bagi memastikan lebih banyak pusat pemindahan sementara (PPS) dapat dibuka.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kejadian banjir yang berlaku sebelum ini menyaksikan terdapat PPS sudah penuh dan tidak dapat menampung jumlah mangsa banjir.
“Apabila berlaku banjir baru-baru ini, kita tidak jangka banjir itu begitu besar sehingga kita hanya tumpu pada sekolah-sekolah tertentu sahaja yang akhirnya menyebabkan PPS itu melimpah dengan mangsa banjir tetapi apabila pergi ke sekolah lain, tiada kelengkapan.
“Ini menyebabkan orang-orang kampung terpaksa menggunakan tenaga mereka sendiri untuk membantu pihak sekolah dan suasana banjir baru-baru ini sangat kalut (huru-hara).
“Jadi cadangan saya adalah supaya kerajaan boleh jadikan semua sekolah sebagai satu pangkalan hadapan dan wujud kelengkapan untuk PPS, paling tidak untuk operasi malam permindahan mangsa banjir,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Fadhli mempersoal usaha kerajaan dalam merampatkan jurang pembangunan antara negeri tanpa melihat ‘warna’ politik.
“Kita lihat Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), Selangor dan Kuala Lumpur, masing-masing mencatatkan sumbangan dua angka. Johor, Sarawak serta Pulau Pinang menyumbang ratusan bilion ringgit setiap tahun.
“Tetapi negeri-negeri di Pantai Timur, Utara tanah air, wilayah, di mana ramai petani, pesawah (dan) nelayan serta generasi mereka dibiarkan dalam kitaran kemiskinan sejak sekian lama.
“Bagi saya, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan seluruh anggota Kabinet perlu rasa (risau), setiap kali mengumumkan prestasi ekonomi negara yang berkembang. Adakah pertumbuhan positif ini dirasai oleh setiap rakyat jelata?” katanya. – UTUSAN