Selang masa 11 tahun Gegar Vaganza (GV) berlangsung, tahun ini menjadi saksi bagaimana Jaclyn Victor satu-satunya juara pertandingan itu, hadir dengan album komersial penuh berjudul Glorious, sebagai kelangsungan bermuziknya.
Siti Nordiana, produk GV paling laris selama satu dekad hanya bergantung single demi single saban tahun. Kalaulah dia bersabar sedikit lagi, pasti ada penyeri diskografinya. Bagaimanapun, saya padam sahaja imaginasi yang tidak akan termakbul itu.
Diterbitkan oleh komposer Adrian Puan dan Gerald Sellan, Glorious, membawa pendengar dalam satu dimensi muzik menyaksikan Jaclyn beradaptasi dengan kehendak pasaran seperti biasa dipersembah barisan penyanyi ‘BBNU’.
Juara Malaysian Idol musim pertama itu membuka albumnya menerusi Lepaskan Saja yang kedengaran kebaratan, namun melodinya cukup mengikat dengan menyuntik elemen afro-beat dan funk yang dibudayakan dalam kalangan pemuzik Afrika Barat.
Dengan penggunaan ritma cepat, catchy dan menghentak, ini sekaligus mengangkat standard pop Jaclyn ke tahap luar daripada kebiasaan album terdahulunya.
Tetapi, saya percaya, genre muzik ini bukanlah baharu, cuma, baru diserap dalam kalangan pasaran pengkarya Melayu terutama Jaclyn lebih sinonim dengan format muzik sentimental sifatnya.
Racun dan Inilah Saatnya juga memainkan peranan penting untuk meramal masa hadapan Glorious dalam tempoh beberapa tahun lagi. Saya suka keseluruhan dua lagu ini kerana kemasan muziknya kedengaran intense (tegang) dan rapat. Nyanyian Jaclyn benar-benar berada di tempo sepatutnya setiap kali mencapai satu momentum.
Kembalilah, adalah satu kegagalan pop balada dilancar lebih awal pada 2023 selepas menjuarai GV9. Saya tidak faham di mana silap lagu ini, sedangkan ilham baladanya cukup baik. Namun, ia tidak membawanya bergerak satu langkah ke arah muzik benar-benar diterima umum.
Pun begitu, Jaclyn menebus kelemahan itu menerusi Sesal Tak Bermakna juga dilancar lebih awal. Saya kira, ilham balada seperti ini dengan liriknya tertulis kemas amat sesuai untuk dia nyanyikan.
Tiada bahagian perlu saya kritik buruk-buruk, kerana bunyi intense dalam keseluruhan produksi lagu ini mencapai kriteria muzik saya kehendaki. Dia tidak lagi terikat dalam format balada terlalu perlahan dan melelahkan.
Apabila Jaclyn turut mengeluarkan B.D.T sebagai single, dia mengingatkan saya akan It’s a Beautiful Day dimuatkan dalam albumnya bersama Ning Baizura dan Shila Amzah berjudul 3 Suara. Tetapi, saya cukup sekadar mendengar dan bukan kegemaran saya. Begitu juga dengan Kejutkan Aku yang kurang menarik pendengaran saya.
Jaclyn menutup persembahannya dengan Glorious (Gemilang), rakaman semula lagu yang memainkan tanggungjawab besar untuk menjadikan siapa dia hari ini sejak menamatkan Malaysian Idol.
Terlalu besar perubahan dari segi gubahan yang kedengaran lebih kekinian. Tetapi, pendengar harus mengambil sedikit masa menyesuaikan diri dengan rendisi baharu kerana mungkin sukar menyaingi susunan asal kerana bunyinya lebih evergreen.
Pembezanya hanyalah daripada terdapat suara penyanyi latar melaungkan perkataan glorious, menyuntik ilham muzik gospel kontemporari dengan menggunakan harmoni yang begitu kuat dan selalunya dikaitkan dengan persembahan keagamaan dan puji-pujian.
Saya sudah terbayang bagaimana barisan penyanyi-penyanyi muzik gospel Afrika Barat menyanyikan lagu ini.
Album ini sebenarnya mentafsir bagaimana Jaclyn cuba memahami kehendak pasaran muzik kini yang perlu bergerak di atas garis masa baharu dan tidak tersekat di era 90-an atau 2000-an.
ERA KRU MUSIC BERAKHIR
Saya percaya, generasi muda pasti lebih mudah menerima muzik baharu dalam Glorious. Walau apa pun, era dominasi KRU Music yang menerbitkan album Ikut Rentakku (2013) dan Unleashed (2014) dalam portfolio Jaclyn sudah berakhir.
Namun, sebagai individu membesar di zaman Jaclyn bermula sebagai penyanyi komersial, saya tetap mahukan lagu-lagu epitome Cepat-Cepat, Di Bawah Pohon Asmara, Satu Harapan, Cinta Tiada Akhirnya, Bertamu Di Kalbu dan Jagalah Diri yang mungkin sukar untuk mengulangi zaman kegemilangannya.
Isunya sama ada Jaclyn mengetepikan pendengar-pendengar sedia ada di zamannya atau pendengarnya terpaksa menyesuaikan diri sendiri untuk menerima produknya.