PUTRAJAYA: Segala isu berkaitan padi dan beras akan diperjelaskan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di Parlimen pada 13 Februari ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu akan disampaikan Menteri berkenaan melalui satu Kenyataan Menteri dalam persidangan Dewan Rakyat disusuli perbahasan oleh ahli-ahli Parlimen.
“Jemaah Menteri dimaklumkan Menteri berkenaan akan menyampaikan Kenyataan Menteri di Parlimen pada 13 Februari mengenai isu beras khusus berkait harga lantai belian padi.
“Ia akan disampaikan di Parlimen dan sejurus selepas kenyataan Menteri akan ada perbahasan dan kita sama-sama tunggu kenyataan penuh oleh Menteri,” katanya pada sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan dijangka mengumumkan kenaikan harga lantai belian padi pada minggu depan berserta subsidi tambahan bagi mengimbangi kesan kepada pengguna terutamanya melibatkan harga beras.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mohamad Sabu akan membentangkan kertas menteri bagi menjelaskan dan mengumumkan kenaikan harga lantai berkenaan.
Jelas Perdana Menteri, kenaikan harga lantai ini akan menyebabkan kenaikan harga beras bagi pengguna dan kerajaan akan menampung subsidi supaya harga pasaran beras tempatan bagi pengguna tidak dinaikkan.
Ia bermakna kerajaan akan menampung lagi subsidi sekitar RM150 juta untuk enam bulan yang akan dimuktamadkan dalam masa singkat.
Pada 2023, kerajaan menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per metrik tan daripada RM1,200 per metrik tan sejak 2014.
Bagaimanapun, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) baru-baru ini mahu kerajaan mempertimbangkan cadangan pertubuhan itu untuk menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 per metrik tan kepada RM1,800 per metrik tan.-UTUSAN