PASIR SALAK: Kerjasama UMNO dengan parti komponen Pakatan Harapan iaitu DAP yang membawa kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan sekarang perlu ditangani secara menyeluruh kerana boleh membawa impak negatif kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, isu kerjasama bersifat strategi politik itu sekiranya tidak ditangani secara praktikal boleh memberikan kesan negatif berpanjangan kepada parti.
Katanya, pemimpin UMNO perlu menjelaskan dan menerangkan isu kerjasama itu dengan sebaiknya sehingga mampu menyakinkan rakyat khususnya pengundi Melayu kembali memberi sokongan pada parti itu.
“Kita tak nak depan kata okey, balik cerita lain (ahli UMNO). Kita perlu tahu apa denyut hati rakyat terutama pengundi. Kerana itu, isu kerjasama dengan PH perlu ditangani dengan sebaiknya.
“Masalah kita dengan DAP ini macam mana nak buat (selesaikan) dah dua tahun kerjasama. Jangan tunggu pilihan raya dah dekat, baru nak buat apa (bertindak),” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu berucap selama kira-kira 30 minit pada Majlis Penerangan PRU 16 Bersama Mantan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang dihadiri kira-kira 100 orang ahli Barisan Nasional (BN).
Beliau sebelum itu, menggesa semua peringkat parti UMNO berusaha dengan lebih keras lagi bagi merampas kembali kawasan Parlimen Pasir Salak dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Manik dan dan Kampung Gajah yang kini disandang oleh wakil rakyat Perikatan Nasional (PN).
Tajuddin berkata, UMNO berdepan krisis keyakinan rakyat terutama pengundi selepas kalah teruk dalam PRU-15 dan ia masih belum pulih sepenuhnya.
Beliau menasihatkan pemimpin UMNO jangan mengambil sikap sindrom penafian dan sewajarnya menyelesaikan isu berbangkit dengan segera. – UTUSAN