Isu garis panduan tidak harus dipolemikkan

Isu garis panduan penyertaan orang Islam perayaan agama lain tidak harus dipolemikkan

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu garis panduan penglibatan orang Islam di dalam majlis sambutan perayaan atau upacara kematian orang bukan Islam tidak harus dipolemikkan kerana setiap warga Malaysia mesti meneruskan budaya menghormati antara satu sama lain.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemimpin politik khususnya bukan Islam termasuk DAP, MCA dan Gerakan yang dilihat amat teruja mengeluarkan kenyataan perlu menyerahkan isu kepada pihak autoriti untuk membahaskan secara ilmiah.

Katanya, semua masyarakat akhirnya harus hormati kedudukan Majlis Raja-Raja Melayu yang berkuasa mutlak dalam menentukan apa jua hal yang berkaitan dengan hal-ehwal dan kepentingan Agama Islam.

“Semua pihak harus hormati dan terbuka dengan garis panduan penglibatan orang Islam di dalam majlis sambutan perayaan atau upacara kematian orang bukan Islam yang sedang dibangunkan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

“Justeru, tidak perlulah isu ini terus dipolemikkan kerana setiap warga Malaysia mesti teruskan budaya hormat-menghormati dan bertoleransi dalam mengamalkan agama dan budaya masing-masing yang selama ini menjadi teras kekuatan dan keunikan Malaysia sebagai negara majmuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang memuktamadkan satu garis panduan khusus berkaitan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.

Katanya, garis panduan tersebut menggariskan penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan orang selain Islam.

Kata Asyraf Wajdi, garis panduan itu penting kepada umat Islam sebagai suatu asas yang menjadi parameter dan pedoman bagi memastikan adanya pencerahan mengenai batasan tertentu dalam apa jua bentuk amalan melibatkan perayaan dan ritual agama agar tidak sampai menjejaskan akidah yang menjadi teras keimanan seseorang. 

“Contohnya, tiada masalah menghadiri upacara perayaan sesuatu agama sebagai manifestasi keharmonian hidup antara agama yang diamalkan selama ini. Namun, batasan menyertai ibadah ritual tertentu yang boleh menjejaskan akidah seseorang perlu dijadikan panduan untuk umat Islam,” katanya.

Selain itu, katanya garis itu panduan juga harus dilihat sebagai suatu yang positif untuk bukan Islam supaya sensitiviti umat Islam terhadap satu-satu amalan ritual yang boleh menjejaskan aqidah dapat difahami dan dihormati.

“Ketiga garis panduan ini bukan bersifat peraturan atau perundangan kerana hanya sebagai pedoman dan pencerahan ilmu yang bermanfaat buat semua untuk memahami batasan dan sempadan dalam menyertai upacara perayaan dan ibadah agama lain,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya