Istilah Perak 'negeri menua' tidak tepat - Utusan Malaysia

Istilah Perak ‘negeri menua’ tidak tepat

SAARANI Mohamad (tiga dari kiri) bersama penerima Kad Perak Sejahtera pada program di Ipoh, Perak hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak sedang berusaha untuk mengekalkan golongan muda agar tidak meninggalkan negeri ini sehingga menyebabkan hanya yang tinggal adalah golongan tua.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menolak anggapan Perak adalah negeri menua kerana pelbagai rancangan perindustrian sedang dibangunkan di negeri ini.

Katanya, pelbagai rancangan itu mampu menjanjikan peluang pekerjaan kepada golongan muda sekali gus mendorong mereka untuk kekal di Perak dan tidak berhijrah ke negeri lain.

“Cerita yang kata Perak akan menjadi negeri menua ini sebab berasaskan kepada (trend) orang muda ramai keluar, orang pencen mari ke dalam. Itu yang dikatakan akan jadi negeri menua.

“Saya yakin tidak begitu. Sebab bila kita dah kepung orang muda ada di sini, orang muda akan kekal untuk membangunkan Perak. Jadi tidak timbul cerita jadi negeri menua. Semua negeri ada orang tua dan semua orang akan jadi tua.

“Jadi saya yakin istilah mengatakan Perak akan jadi negeri menua tidak tepatlah sebab kita dah menyediakan peluang untuk orang muda bekerja di Perak,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Kad Perak Sejahtera (KPS) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan bahawa Perak akan menjadi negeri terawal yang dilabel status menua kerana peratusan golongan warga emas yang tinggi sekitar lebih 14 peratus daripada jumlah penduduk.

Saarani bagaimapun berkata, kerajaan negeri menyedari keadaan ramai golongan muda meninggalkan Perak berdasarkan kajian ketika hendak membangunkan pelan Perak Sejahtera 2030 dengan anggaran tidak kurang 110,000 orang muda bakal meninggalkan Perak untuk mencari pekerjaan.

Jelasnya Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) merupakan antara projek yang mencipta peluang pekerjaan.

“Kalau dulu memang nak kerja kilang Proton dia kena berpindah ke Shah Alam. Sekarang Proton ada di Tanjung Malim. Dulu dia nak kerja kilang elektrik dan elektronik dia kena pergi ke Batu Kawan Pulau Pinang. Sekarang ada KIGIP. Kita nak kepung supaya orang muda tak akan keluar,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, setakat Februari 2025 seramai 19,012 penerima telah mendapat manfaat dengan sasaran 20,000 Ketua Isi Rumah (KIR) sebagai penerima KPS.

“Bantuan ini boleh digunakan di 291 kedai dan pasaraya panel berdaftar, dengan nilai keseluruhan RM1,200 setahun atau RM100 sebulan bagi setiap penerima,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya