Isteri hamil, ada sebab Imran Aqil rahsiakan berita gembira

Isteri hamil, ada sebab Imran Aqil rahsiakan berita gembira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Alhamdulillah, kandungan isteri saya sihat. Mohon semua doakan yang terbaik.” Demikian respons pelakon, Imran Aqil.

Ia ketika mendedahkan isterinya, Dahlia Rizal kini sedang berbadan dua sekali gus meleraikan teka-teki orang ramai.

Imran ata nama lengkapnya, Muhammad Imran Aqil Mohd Salehuddin, 26, berkata, pada awalnya dia bersama Dahlia memilih untuk merahsiakan dahulu khabar gembira itu selain menunggu masa yang tepat untuk meuar-uarkan kepada umum.

“Sebenarnya kami memang memilih untuk merahsiakannya. Namun, ramai juga yang sudah mula membuat andaian dan sebagainya. Kami bimbang jika terlalu diwar-warkan, ada mata yang memandang dengan niat tidak baik.

“Siapa yang tahu itu, Alhamdulillah. Tetapi ada juga pihak yang meneka sehingga menyebabkan isteri saya berasa tidak selesa, saya rasa perkara itu tidak perlulah,” katanya kepada Utusan Malaysia

Imran berkongsi perkara itu ketika ditemui di Majlis Tayangan Perdana Ramadan Raya Astro 2025, di sini, pada Khamis.

Enggan mendedahkan usia kandungan isteri yang terkini, bekas peserta Hero Remaja 2020 itu turut berkongsi Dahlia telah dikejarkan ke hospital kerana rebah di kedai makan akibat kekurangan tekanan darah, baru-baru ini.

“Kami juga menantikan kelahiran cahaya mata ini, tetapi sekiranya sebaliknya berlaku, kami akan maklumkan juga. Berdasarkan pengalaman keluarga sendiri, ada kandungan yang tidak menjadi, jadi sebab itu kami lebih memilih untuk tidak mengumumkannya terlalu awal.

“Baru-baru ini juga isteri saya baru dimasukkan ke hospital selama dua hari kerana tekanan darahnya rendah. Perkara itu berlaku ketika saya berada di Seremban.

“Tetapi Alhamdulillah, kandungannya sihat. Dan saya juga memintanya agar banyak berehat di rumah saja,” jelasnya.

Ditanya mengenai persiapannya sebelum bergelar bapa, Imran mengakui teruja dan berada dalam fasa mencari tempat tinggal yang lebih sesuai untuk keluarga kecilnya itu.

“Saya sedang mencari rumah yang lebih besar kerana mahu menyambut kelahiran bayi dalam suasana yang lebih selesa. Itu antara persiapan yang sedang kami lakukan sekarang,” ujarnya.

Sekadar info, Imran dan Dahlia telah berkahwin pada 9 September 2023. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN