SEREMBAN : Seorang isteri yang didakwa mencederakan suaminya dengan telefon bimbit didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan tersebut, Sabtu lalu.
Tertuduh, Mas Suri Abdul Rahman, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menyebabkan kecederaan ke atas suaminya yang berusia 39 tahun dengan menggunakan sebuah telefon bimbit jenis iPhone 13 Pro Max berwarna putih yang dilakukan kira-kira pukul 1.30 tengah hari di sebuah rumah beralamat di Bukit Citra Residensi, Nilai pada 1 Februari lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu dan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Februari.
Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN