PUTRAJAYA: Israel harus bertanggungjawab sepenuhnya di atas kehancuran bumi Gaza yang kerugiannya dianggarkan sekitar AS$100 bilion, kata Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Erdogan berkata, Israel mesti membayar harga atas kemusnahan yang mereka lakukan di Gaza.
Menurutnya, kerajaan Israel mesti memberi pampasan atas kerosakan yang mereka lakukan dan proses pembinaan semula Gaza mesti dimulakan dengan dana ini.
“Israel dan kerajaan Netanyahu mesti bertanggungjawab atas kehancuran ini. Setiap kemusnahan yang tidak diberi pampasan hanya akan menjadikan pelakunya semakin ganas.
“Setelah menyebabkan begitu banyak kehancuran, penderitaan, dan kekejaman, Israel tidak boleh dibiarkan terus bertindak seolah-olah tiada apa yang berlaku,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Umum di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Katanya, daripada mencari tempat untuk rakyat Gaza yang gagal mereka usir walaupun selepas 15 bulan pembantaian, Netanyahu sepatutnya mencari sumber untuk membayar ganti rugi sebanyak AS$100 bilion kepada Gaza.
Erdogan berkata, cadangan untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah yang telah mereka diami selama ribuan tahun tidak boleh diterima.
“Dengan izin Allah, tiada sesiapa yang boleh dan akan mampu mencetuskan satu lagi NAKBA ke atas rakyat Palestin,” katanya.
Katanya, selama 471 hari, dunia telah menyaksikan kejatuhan besar nilai kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.
Dalam tempoh itu, katanya, dua juta orang yang terperangkap di kawasan seluas 360 kilometer persegi mengalami salah satu pembunuhan beramai-ramai paling kejam dalam abad ini.
“Namun, rakyat Gaza tetap teguh mempertahankan maruah mereka, tidak tunduk kepada penjajah, dan tidak meninggalkan tanah air mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Erdogan berkata, beliau ingin merakamkan penghargaan kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.
“Saya berharap kepimpinan Malaysia dalam tempoh ini akan menjadi pemangkin dalam memperkukuhkan hubungan antara negara kita dan ASEAN.
“Kami sentiasa bertindak dalam solidariti penuh dengan Malaysia dalam banyak isu, terutama yang melibatkan dunia Islam. Saya amat menghargai sokongan Malaysia terhadap Gaza dan perjuangan rakyat Palestin.
“Saya juga menyambut baik pendirian teguh Malaysia dalam memerangi Islamofobia,” katanya.-UTUSAN