KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sedang menerima rawatan di Hospital Sunway Medical Centre di Kota Damansara sejak malam kelmarin.
Perkara itu disahkan oleh anaknya yang juga penyanyi dan pelakon, Dafi Ismail, 37.
Ketika dihubungi Mingguan Malaysia, Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi berkata, bapanya dimasukkan ke hospital kerana mengalami tekanan darah tinggi.
“Bapa saya dimasukkan ke hospital sejak semalam (kelmarin) kerana tekanan darah tinggi. Setakat ini doktor masih memantau keadaan kesihatannya dan kini dinasihatkan untuk berehat di wad.
“Buat masa sekarang keadaannya sudah stabil tetapi kami sekeluarga mohon doa yang baik daripada semua pihak. Kami akan maklumkan keadaan kesihatannya dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bera itu dilaporkan dimasukkan ke hospital selepas pengsan dan tidak sedarkan diri.
Keadaan Ismail Sabri itu disahkan oleh Setiausaha Akhbarnya, Azran Fitri Rahim. – UTUSAN