PETALING JAYA: Sistem Terimaan Elektronik Kerajaan Persekutuan, iPayment merupakan antara inisiatif untuk memperkukuh reformasi sistem pembayaran kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, iPayment dibangunkan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dan boleh digunakan oleh semua agensi kerajaan tanpa perlu membangunkan sistem pembayaran elektronik secara berasingan.
“Sebelum ini, setiap agensi kerajaan perlu membangunkan sistem pembayaran tanpa tunai secara individu.
“Dengan adanya iPayment, semua agensi kini dapat menyediakan perkhidmatan pembayaran elektronik tanpa kos pembangunan tambahan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada reformasi menyeluruh negara yang mengambil kira keluhan rakyat yang sering berdepan kesulitan dalam transaksi dengan agensi kerajaan.
Katanya, penggunaan iPayment dan pembudayaan pembayaran tanpa tunai mencerminkan Daya Cipta, iaitu salah satu nilai dalam Madani dengan memanfaatkan teknologi mutakhir untuk menjamin kemampanan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kemaslahatan rakyat.
“Langkah ini dijangka memudahkan urusan rakyat dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam seiring dengan perkembangan teknologi digital,” katanya. – UTUSAN