SEMENYIH: Kementerian Pendidikan mencatatkan penurunan ketara dalam ketidakhadiran pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada 10,000 pelajar kepada 8,000 pelajar pada tahun lepas hasil menerusi pelbagai langkah intervensi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pencapaian positif itu adalah kejayaan daripada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak kementerian.
Beliau berkata, antaranya adalah program Ziarah Cakna, pengesanan awal keciciran serta sokongan dari komuniti yang membantu mengurangkan kadar ketidakhadiran.
“Dengan dasar pendidikan wajib yang dikuatkuasakan, kami berharap kehadiran pelajar akan terus meningkat pada tahun ini.
“Pelbagai langkah serta program kami laksanakan seperti pengesanan awal dan sokongan psikososial yang memberi impak positif terhadap pelajar,” katanya dalam sidang media Hari Pertama Pembukaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih, di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seramai 8,076 calon SPM Tahun 2024 tidak hadir pada semua kertas peperiksaan bertulis setakat 6 Februari lepas, dengan 6,231 daripada mereka berasal dari sekolah di bawah KPM.
Fadhlina dilaporkan berkata, punca utama ketidakhadiran pelajar ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti bekerja, masalah kesihatan, isu keluarga, perpindahan ke luar negara serta kematian.
Beliau berkata, pihaknya juga akan terus memperkenalkan inisiatif baru untuk membantu pelajar termasuk sokongan motivasi dan pembangunan profesionalisme guru bagi memastikan kejayaan pelajar dalam pendidikan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang dalam menjayakan sesi persekolahan tahun ini dan berharap usaha berterusan ini dapat memberi manfaat kepada generasi pelajar akan datang,” ujarnya.
Sebelum ini, dilaporkan 10,160 daripada 383,685 calon baharu SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.
Antara punca perkara itu adalah masalah keluarga dan bekerja serta faktor kemalangan dan sakit juga antara punca ketidakhadiran luar kawalan calon yang dikenal pasti. – UTUSAN