GEORGE TOWN : Pengerusi DAP negeri, Steven Sim Chee Keong enggan mengambil pusing insiden yang berlaku ketika majlis meraikan veteran parti itu, Tan Sri Lim Kit Siang di sini, Sabtu lalu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, rakaman video kekecohan yang tular ketika itu juga tidak memberi kesan kepada dirinya buat masa ini.
“Ketika dilantik sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang, saya telah menjadikan perpaduan parti sebagai teras untuk kita (DAP) memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat Pulau Pinang.
“Jadi, saya tidak ingin isu yang tidak memberi manfaat kepada perpaduan parti seperti ini berlanjutan.
“Saya ingin tegaskan sekali lagi. ‘It was a storm in a tea cup, let us move on and move forward, together and stronger’ (Insiden itu umpama ribut dalam cawan, marilah kita terus melangkah ke depan, bersama-sama dan lebih kuat). Jalan ‘teruih’,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Terdahulu, rakaman video yang tular di media sosial itu menunjukkan seorang penyokong kuat kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng secara terbuka memarahi Steven Sim dalam bahasa Hokkien pada majlis makan malam berkenaan.
Susulan insiden itu, beberapa pemimpin DAP khususnya di peringkat negeri tampil mempertahankan Steven Sim dan menyelar tindakan individu terbabit yang disifatkan agak biadap.