PETALING JAYA: Sektor perladangan sawit di negara ini memerlukan sekitar 38,000 tenaga kerja dan jumlah itu dijangka meningkat serta kekal menjadi cabaran utama.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, peningkatan itu dijangkakan berikutan kerajaan masih membekukan permohonan kuota pekerja asing yang dilaksanakan sejak Mac 2023.
Jelasnya, sektor itu sangat bergantung kepada tenaga kerja asing terutamanya dari Indonesia.
“Kebergantungan yang tinggi kepada pekerja asing dan kurangnya penyertaan pekerja tempatan menyebabkan sektor perladangan sawit di negara ini sentiasa menghadapi kekurangan tenaga memandangkan pekerja asing akan pulang ke negara asal apabila tempoh permit kerja tamat.
“Sektor perladangan kelapa sawit Malaysia adalah salah satu sektor yang masih berintensifkan buruh terutama untuk kerja-kerja penuaian dan pemungutan buah tandan segar (BTS),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Minggu lalu, di Dewan Rakyat, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan komited memastikan setiap ladang sawit mempunyai tenaga kerja yang mencukupi supaya pengeluaran konsisten dan tidak terjejas.
Katanya, kekurangan pekerja boleh menyebabkan buah sawit yang telah masak tidak dapat dituai, sekali gus menjejaskan pengeluaran.
Mengulas berkenaan pengeluaran minyak sawit negara, Ahmad Parveez berkata, ia mencatatkan peningkatan 4.2 peratus pada 2024 berbanding tahun sebelumnya.
Walaupun berlaku pertumbuhan, katanya, peningkatan itu masih rendah kerana situasi buruh di sektor perladangan belum pulih sepenuhnya.
“Kekurangan tenaga kerja yang berterusan terus menjejaskan keupayaan untuk memaksimumkan hasil penuaian. Di samping itu, keadaan cuaca yang tidak menentu dan di luar jangkaan pada 2023 dan 2024, turut mengehadkan pengeluaran sawit.
“Bagi 2025, pengeluaran dijangka meningkat 19.5 juta tan dengan jangkaan pemulihan berterusan situasi buruh di sektor perladangan serta kesan daripada peningkatan aktiviti pembajaan pada 2024,” katanya.
Beliau berkata, harga minyak sawit mentah dijangka stabil dalam lingkungan RM4,000 hingga RM4,300 satu tan pada 2025.
Jelasnya, faktor utama yang menyumbang kepada kestabilan harga itu termasuk permintaan yang kukuh dari pasaran luar seperti sektor biodiesel di Indonesia, yang dijangka menyerap tambahan 1.2 juta hingga 1.7 juta tan minyak sawit mentah.
Selain itu, katanya, penurunan pengeluaran di beberapa negara pesaing utama seperti Indonesia juga dijangka menyokong harga yang lebih tinggi.
“Walaupun terdapat risiko daripada turun naik pasaran komoditi global, langkah-langkah strategik kerajaan membantu memastikan harga minyak sawit kekal kompetitif,” jelasnya. – UTUSAN