PETALING JAYA: Skor diperoleh negara ini dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 kekal 50 mata seperti 2023 sekali gus meletakkan Malaysia di ranking ke-57 daripada 180 negara seluruh dunia.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr. Muhammad Mohan berkata, CPI 2024 diperoleh daripada sembilan tinjauan berbeza berdasarkan penilaian pakar perniagaan dan negara yang mengukur persepsi rasuah dalam sektor awam.
Menurut beliau, walaupun Malaysia berada di kedudukan yang kekal dan memperoleh skor yang sama, kerajaan hendaklah menyedari bahawa negara kita mempunyai visi untuk mencapai kedudukan di antara 25 buah negara teratas di dunia menjelang tahun 2033.
Tambah beliau lagi, pelbagai faktor menyumbang kepada peningkatan skor diperoleh Malaysia antaranya Kerajaan menekankan kepentingan tatakelola yang baik dan pembaharuan institusi, tetapi usaha pembaharuan ini masih berjalan dengan perlahan.
“Semakan semula hukuman penjara dan pengurangan denda selepas disabitkan oleh mahkamah tertinggi ke atas kes berprofil tinggi mewujudkan persepsi unsur campur tangan politik dalam badan kehakiman.
“Bilangan kes-kes DNAA (Discharge Not Amounting to Acquittal) yang tinggi yang diberikan
untuk kes berprofil tinggi juga mewujudkan persepsi bahawa terdapat unsur campur tangan politik dalam badan kehakiman atau dalam proses pendakwaan.
“Namun, walaupun pihak SPRM telah membuat tangkapan, masih terdapat kes-kes salah guna kuasa dan rasuah yang berterusan oleh penjawat awam.
“Selain itu, laporan buruk yang berterusan dalam laporan Ketua Audit Negara mengenai kesalahan dan tatakelola yang lemah oleh pegawai kerajaan yang tidak diberikan hukuman yang sewajarnya,” katanya ketika mengumumkan CPI 2023 di sini, semalam.
Berdasarkan laporan dikeluarkan, tiga buah ‘negara bersih dari ancaman rasuah’ berjaya menduduki tiga tangga teratas iaitu Denmark, Finland dan Singapore masing-masing dengan skor sebanyak 90 mata, 88 mata dan 84 mata.
“Negara-negara yang berada di kedudukan tercorot dalam indeks itu adalah Venezuela, South Sudan dan Somalia masing-masing dengan skor sebanyak 10 mata, sembilan mata dan lapan mata.
“Malaysia berada pada kedudukan kedua antara sembilan negara ASEAN di belakang Singapura yang memperoleh skor 84 mata,” katanya. – UTUSAN