KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty Omar menuntut permohonan maaf dari ibu bapa Imran Bard atas ketelanjuran pempengaruh media sosial itu yang mencalar imej beliau menerusi kandungan yang dimuat naiknya di TikTok baru-baru ini.
Ellie dalam sidang media khas yang diadakan petang tadi, memaklumkan dua video parodi yang dimuat naik Imran minggu lepas itu telah mencemar nama baik dan menjejaskan imejnya sebagai penggiat seni dunia seni tempatan.
“Saya telah melaporkan perkara ini pada Ahad lepas di Ibu Pejabat Polis Ulu Klang.
“Dan selepas ini saya akan teruskan pula laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Tindakannya telah menjejaskan kesihatan mental saya, membuatkan berhari-hari saya menangis mengenangkannya.
“Video tersebut juga telah mengundangkan netizen mempersendakan saya, kononnya saya ini betul-betul ambil bahan terlarang.
“Jadi saya menuntut permohonan maaf dari kedua orang tuanya dan memberikan mereka tempoh satu minggu untuk berbuat demikian sebelum tindakan susulan diambil,” katanya.
Ellie berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara petang tadi.
Turut hadir adalah pelakon, Ava Vanja, bekas suami Ellie juga pelakon, Azri Iskandar dan dua anaknya, Azrell Omar dan Nur Azreen.
Imran sebelum ini memuat naik kandungan parodi yang antara lain mempersendakan Ellie Suriaty dengan mengaitkan pelakon tersebut dengan pengambilan bahan terlarang.
Tindakan itu dilakukannya dalam dua video yang dimuatnaiknya di TikTok sekitar minggu lepas. Video tersebut setakat meraih lebih 1 juta tontonan di TikTik.
Ellie dalam masa yang sama sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pempengaruh berkenaan sekiranya dia gagal melaksanakan tuntutan permohonan maaf itu dalam tempoh yang telah ditetapkan.
“Kami telah mendapatkan nasihat peguam mengenai perkara ini, saya boleh saman dia bila-bila masa sahaja.
“Persoalannya, berapa nilai yang sepatutnya saya letakkan untuk saman dia? RM200,00? RM1 juta, RM1 bilion? Adakah nilai itu mampu memperbaiki maruah saya yang telah dia rosakkan? Lebih-lebih lagi dengan keuntungan yang dia perolehi hasil tayangan video itu di media sosialnya. Tak akan ada amaun yang boleh memperbaiki imej saya yang sudah dia rosakkan.
“Demi Allah saya tidak halalkan dia mengguna, merosak atau mengaibkan saya untuk meraih keuntungan,” kongsinya.