PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan terus melaksanakan aktiviti penguatkuasaan termasuk menjalankan pemeriksaan di semua bazar Ramadan di seluruh negara bagi mengekang isu peniaga dan pekerja warga asing.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, bahagian pemeriksaan di setiap negeri diarahkan untuk menjalankan pemeriksaan terutamanya di lokasi-lokasi yang dikenal pasti mempunyai ramai pekerja warga asing.
“Saya tetapkan pada pasukan pemeriksaan ini untuk pergi ke seluruh tempat, bukannya fokus pada satu-satu tempat sahaja, terutamanya yang kita dapati ramai pekerja warga asing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Inspektorat di sini hari ini.
Pada Isnin lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan lesen bazar Ramadan yang dikeluarkan sekiranya mendapati ada peniaga memindahkan lesen mereka kepada pihak lain.
Perdana Menteri menegaskan, isu ‘memindahkan’ lesen itu antara aspek tatakelola yang harus diberi penekanan dan memerlukan penguatkuasaan lebih baik. – UTUSAN