PETALING JAYA: Jabatan Imigresen menafi dakwaan berlakunya penderaan terhadap tahanan di depot tahanan imigresen di Selangor seperti yang didedahkan dalam sebuah platform media sosial.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, laporan yang mendakwa pegawai imigresen terbabit dalam kejadian dera itu adalah tidak benar dan hasil semakan dalaman mendapati tiada rekod kejadian seperti yang didakwa.
“Kesemua tahanan diuruskan mengikut tatacara yang ditetapkan dan sekiranya berlaku pelanggaran disiplin, tindakan hanya akan diambil selepas disahkan kesalahan tersebut oleh komandan melalui siasatan yang berpandukan Peraturan-peraturan Imigresen Pengurusan Depot 2003,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan, depot tahanan imigresen dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan pemantauan mendapati tiada sebarang pergerakan mencurigakan direkodkan.
Mengulas dakwaan mengenai kemasukan pelarian pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), beliau menjelaskan ia hanya dibenarkan dengan kelulusan daripada Ibu Pejabat Jabatan Imigresen.
Sehubungan itu menurutnya, orang ramai diminta menyalurkan maklumat yang tepat menerusi saluran aduan rasmi Jabatan Imigresen bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
“Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terbukti melakukan salah laku,” katanya.
Sebelum ini, dakwaan mengenai kejadian dera di Depot Imigresen Selangor menjadi tular selepas seorang individu mendakwa adiknya yang bertugas sebagai pegawai imigresen di depot berkenaan menyaksikan sendiri insiden tersebut. – UTUSAN