HULU TERENGGANU: Imam Masjid Kampung Tengkawang tidak menduga mengetuai solat jenazah serta bacaan talkin dua ahli keluarganya serentak sejurus selepas selesai tahlil seorang penduduk kampung, kelmarin.
Mohd. Ismail, 66, berkata, dua beranak yang maut dalam kemalangan di Kampung Kepah Khamis lalu, merupakan anak saudara serta cucu saudaranya yang tinggal berhampiran rumahnya di Kampung Tengkawang.
“Selepas Isyak saya dan jemaah masjid mengadakan bacaan tahlil ke atas arwah seorang penduduk lelaki berusia 50-an yang meninggal dunia kira-kira pukul 8 pagi pada Rabu akibat kencing manis.
“Selesai tahlil, jenazah Nursaidatul Aishah Zakari, 36, dan Wan Nur Izara Aina Tun Mohd. Khairul,12, tiba di masjid untuk disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
“Sepanjang bertugas sejak 2001, ini pertama kali saya mengetuai solat jenazah hanya selang beberapa minit selepas selesai tahlil sebelum kemudian bacaan talkin di tanah perkuburan,” katanya ketika ditemui di Kampung Tengkawang.
Mohd. mengakui hiba apatah lagi hubungannya dengan dua beranak tersebut rapat bagai anak dan cucu sendiri.
Katanya, arwah Wan Nur Izara Aina dan adiknya, Tun Nur Ufaira Afifa,9, yang sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu sering ke rumahnya untuk belajar mengaji.
“Walaupun sedih atas tragedi itu namun reda atas ketentuan Ilahi. Sepanjang Februari sudah enam kematian di kampung ini.
“Anak saudara dan cucu saudara dikebumikan pada malam Nisfu Syaaban dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengkawang,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.55 pagi Khamis lalu, dua beranak itu dilaporkan maut setelah motosikal ditunggangi dirempuh sebuah kereta dinaiki lima pelajar lelaki sebuah institusi pengajian di kilometer 13 Jalan Gaung – Kuala Ping-Teris dekat Kampung Kepah, Hulu Terengganu, manakala seorang lagi anak Nursaidatul Aishah iaitu Tun Nur Ufaira Afifa cedera parah. – UTUSAN