Imam hadir beri penjelasan di pejabat agama - Utusan Malaysia

Imam hadir beri penjelasan di pejabat agama

MOHAMAD Lotfi Samsudin ketika hadir memberi penjelasan berkaitan isu tidak membaca khutbah Jumaat terkini di Pejabat Agama Islam Teluk Intan hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Imam di Masjid Sultan Idris Shah II di sini hadir di Pejabat Agama Islam Teluk Intan hari ini bagi memberi penjelasan mengenai tindakannya tidak dapat membacakan khutbah terkini yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada Jumaat lalu.

Mohamad Lotfi Samsudin berkata, penjelasan diberikan melalui surat rasmi dengan alasan page atau halaman khutbah Jumaat JAIPk tidak dapat dibuka pada hari tersebut dengan menggunakan komputer riba di rumahnya.

Menurutnya, memandangkan masa solat Jumaat semakin hampir , beliau terpaksa mencari alternatif lain dengan menggunakan khutbah yang ada di rumah bertajuk ‘Istighfar dan Kelebihannya’ pada hari tersebut.

Teks tersebut merupakan khutbah Jumaat pada 5 Mei 2023.

“Teks khutbah yang dibaca pada hari Jumaat tersebut juga adalah keluaran JAIPk.

“Menurut pengetahuan saya arahan terbaru JAIPk mengenai pembacaan khutbah bagi pegawai-pegawai masjid masih tertakluk di bawah Enakman / Peraturan-Peraturan Pegawai Masjid 2018.

“Oleh itu, saya mengambil faham teks khutbah sebelumnya boleh dibaca selagi mana di keluarkan oleh JAIPk.

“Dengan itu saya memohon maaf dan berharap kejadian seumpama ini tidak akan berulang lagi,” kata kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, semasa memberi penjelasan hari ini, beliau turut ditanya adakah disebabkan kandungan teks khutbah Jumaat lalu yang berkaitan fitnah yang menyebabkan beliau tidak membaca khutbah tersebut.

“Saya beritahu,  saya tak tahu pun apakah isu kandungan teks khutbah tersebut kerana halamannya tidak boleh dibuka,” katanya.

Menurutnya, setakat ini beliau akan meneruskan tugas sebagai imam masjid tersebut seperti biasa.

“Setakat ini saya bertugas seperti biasa, tiada apa-apa arahan. Saya dimaklumkan perkara ini akan dibawa ke atas, ke JAIPk di Ipoh,” katanya.

Semalam, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim membuat laporan polis di IPD Ipoh susulan tindakan seorang imam di sebuah masjid di Teluk Intan yang enggan membaca teks khutbah disediakan JAIPk pada Jumaat lalu.

Berikutan itu, Mohamad Lotfi membuat laporan polis di sini semalam terhadap Hasnul Zulkarnain atas tuduhan beliau melanggar titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai tidak berasas sama sekali.

Katanya, begitu juga dakwaan kononnya tidak menghormati arahan daripada JAIPk dan Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIPk) disifatkan sebagai fitnah.

“Tindakan tidak bertanggungjawab ini jelas boleh menjatuhkan reputasi saya sebagai seorang imam di Masjid Sultan Idris II Teluk Intan.

“Saya sentiasa komited melaksanakan tugas saya sebaik mungkin mengikut arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak JAIPk,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya