Imam dakwa masalah teknikal punca tak baca khutbah Jumaat terkini - Utusan Malaysia

Imam dakwa masalah teknikal punca tak baca khutbah Jumaat terkini

IMAM (dua dari kiri) dan ahli jawatankuasa masjid yang membuat laporan polis di IPD Hilir Perak di Teluk Intan semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Imam sebuah masjid di sini mendakwa masalah teknikal menjadi punca beliau tidak dapat membacakan teks khutbah terkini yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada Jumaat lalu.

Beliau yang enggan dikenali berkata, perkara itu berlaku apabila beliau tidak dapat membuat cetakan teks khutbah kerana pautan khutbah tersebut tidak boleh dibuka.

Menurutnya, kejadian itu pertama kali berlaku sejak beliau menjadi imam di masjid tersebut sejak tahun 2008.

“Pada pagi itu (Jumaat lalu), saya tak boleh print out sebab link yang ada tak boleh buka, (teks khutbah) tak boleh keluar, jadi tak dapatlah (untuk dicetak).

“Saya baca khutbah sebelum ini tiada masalah. Saya sudah bertugas sejak 2008, sudah berbelas tahun dan tak timbul masalah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Terdahulu, beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang didakwa melemparkan tohmahan terhadapnya dalam satu video yang dibuat di pekarangan IPD Ipoh.

Hasnul Zulkarnain membuat laporan polis di IPD Ipoh semalam susulan tindakan seorang imam di sebuah masjid di Teluk Intan yang enggan membaca teks khutbah disediakan JAIPk pada Jumaat lalu.

Menurut imam tersebut, dalam video tersebut, Hasnul Zulkarnain memfitnahnya dengan mengatakan beliau tidak membaca teks khutbah yang disediakan JAIPk selain melanggar titah Sultan Perak serta memfitnahnya tidak menghormati arahan JAIPk.

“Saya rasa amat sedih sebab sepatutnya perkara ini boleh diselesaikan secara dalaman kerana khutbah yang saya dibacakan memang daripada JAIPk.

“Menurut pekeliling yang dikeluarkan JAIPk pada tahun 2018 berkaitan khutbah, selagi khutbah itu dikeluarkan oleh JAIPk, maka ia boleh dibaca,” katanya.

Menurutnya, tuduhan yang dilemparkan terhadapnya melampau, seolah-olah beliau tidak menghormati titah Sultan Perak sedangkan khutbah yang dibacakan pada Jumaat lalu adalah teks khutbah daripada JAIPk.

“Tuduhan saya tidak akur arahan JAIPk juga tidak betul kerana berlaku sedikit masalah teknikal berkaitan pautan teks khutbah untuk saya cetak pada pagi Jumaat lalu,” katanya.

Menurutnya, beliau membuat laporan polis bagi menafikan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya dan meminta mereka yang mencetuskan tuduhan terhadapnya menghentikannya.

“Tuduhan terhadap saya adalah berdasarkan andaian, antara andaiannya atas sebab politik sedangkan dalam khutbah itu (Jumaat lalu) tiada politik pun.

“Reputasi saya sebagai imam tercalar. Saya sudah jadi imam di sini sejak tahun 2008 sampai sekarang tidak ada isu macam ini kecuali hari ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya