KOMITMEN dan iltizam warga Ayer Kuning, Kampar, Perak menjayakan Karnival Keusahawanan Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Kuning baru-baru ini ternyata mengagumkan.
Berbekalkan kekuatan 36 orang pendidik dan 224 murid dengan sinergi bersama penduduk kampung dan masyarakat sekitar, karnival berskala besar yang julung kali diadakan itu berjaya menarik kehadiran kira-kira 700 orang pengunjung.
Sarat dengan pelbagai program menarik terutamanya gerai jualan makanan dan minuman, pertandingan masakan, aktiviti sauk ikan, memanah, rumah hantu, jualan pakaian terpakai, e-sport dan karaoke membuatkan pengunjung dapat bergembira bersama keluarga.
Selain itu, terdapat pameran agensi kerajaan dan swasta seperti kaunter Bank Rakyat, zakat, pemeriksaaan kesihatan, kempen derma darah, pameran Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Guru Besar SK Ayer Kuning, Rozita Ibrahim berkata kepada Utusan Pelajar karnival itu diadakan sebagai inisiatif instisusi pendidikan itu memupuk dan memperkenalkan dunia perniagaan kepada murid-murid sekolah.
“Ini ternyata memberi peluang kepada murid-murid merasai pengalaman sebenar terlibat dalam dunia keusahawanan dengan bimbingan guru-guru sekolah yang mungkin menjadi karier utama mereka pada masa depan, “ ujarnya. – UTUSAN