KUANTAN: Taktik sindiket menggunakan khidmat tonto dan melalui jalan kampung bagi membawa sebanyak 275.476 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM8.8 juta dipercayai dari negara jiran, gagal selepas polis menahan dua individu di Kampung Sungai Mun, Lipis dekat sini pada 6 Februari lalu.
Difahamkan, bekalan bahan terlarang itu untuk dihantar ke Lembah Klang dan boleh dibekalkan kepada 520,000 penagih dalam masa sehari dengan mengambil kira analisis penggunaan harian sebanyak 0.5 gram.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, Pondok Polis Pagar Sasak menerima maklumat kemalangan langgar lari melibatkan sebuah kereta Toyota Wish di Kampung Pagar Sasak dan orang awam mengejarnya sehingga ke Kampung Sungai Mun.
Katanya, hasil tindak balas segera terhadap situasi dilaporkan, polis menahan seorang lelaki berusia 67 tahun yang merupakan pemandu kereta berkenaan.
“Pada masa sama, seorang lelaki berusia 31 tahun tiba di lokasi bagi membantu suspek pertama tetapi polis bertindak segera menahannya kerana mencurigakan. Suspek pertama kemudian menunjukkan kereta yang disorokkan di kawasan berhampiran dalam keadaan berkunci. Hasil pemeriksaan menemukan 13 bungkusan plastik berwarna hitam.
“Plastik hitam itu mengandungi bungkusan plastik lutsinar yang mana setiap plastik lutsinar itu mengandungi bungkusan berwarna coklat bertulisan cina dan berlabel ‘chrysanthemum tea’. Setelah diperiksa isi kandungan bungkusan berwarna coklat, dijumpai ketulan kristal yang disyaki merupaka syabu.
“Jumlah keseluruhan rampasan terdiri daripada 13 plastik berwarna hitam yang mengandungi 261 bungkusan plastik lutsinar. Anggaran berat keseluruhan dadah yang dijumpai berjumlah 275.476 kg dengan nilai rampasan RM8.815 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)Pahang di sini, semalam.
Yahaya berkata, kedua-dua suspek terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah yang berperanan sebagai ‘transporter’ dan tonto dengan dibayar upah tinggi untuk setiap penghantaran.
“Kedua-dua suspek yang mempunyai rekod kesalahan membabitkan dadah dan jenayah dipercayai mula aktif sejak awal tahun ini. Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari bermula 7 Februari lalu,” katanya.
Jelasnya, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang menjadikan negeri ini sebagai hub laluan dan transit pengedaran.
“Mangsa langgar lari yang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal masing-masing berusia 16 tahun mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Lipis,” katanya. – UTUSAN