PETALING JAYA: Mengiktiraf kepentingan ilmu tasawuf dan amalan tarekat Islam sebagai salah satu unsur penting dalam memperkukuh spiritualiti umat Islam adalah antara tujuh Resolusi Muzakarah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, baru-baru ini.
Anggota Jawatankuasa Fatwa Perak, Engku Ahmad Fadzil Engku Ali berkata, ilmu tasawuf bersama amalan tarekat, adalah manifestasi daripada pelaksanaan rukun ihsan serta penghayatan takwa yang diajarkan melalui al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
Katanya, ini selaras dengan perintah-perintah yang terkandung dalam ayat-ayat al-Quran yang menekankan kepentingan takwa, serta hadis Jibril yang terkenal, yang bertujuan merealisasikan makam musyahadah (menyembah Allah seolah-olah kita melihat-Nya) dan sekurang-kurangnya merasai makam muraqabah (menyembah Allah dengan penuh kesedaran bahawa Dia sedang melihat kita).
“Oleh yang demikian, ilmu tasawuf bersama amalan tarekat merupakan tonggak utama yang membentuk agama Islam, seiring dengan Ilmu Tauhid (rukun Iman) dan Ilmu Fiqh (rukun Islam).
“Ia adalah kewajipan yang perlu sentiasa dipertahankan dan diperkuatkan oleh seluruh umat Islam, kerana peranan tasawuf (rukun Ihsan) amat penting dalam membentuk peribadi Muslim yang unggul, masyarakat Islam yang berakhlak mulia, serta negara yang aman, harmoni dan penuh keberkatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini..
Muzakarah selama tiga hari di Pusat Konvensyen Casuarina, Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya, Ipoh, yang berakhir semalam.
Engku Ahmad Fadzil berkata, usaha gigih perlu digembleng untuk menyebarkan kefahaman mengenai Tasawuf yang sahih, berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah, serta selaras dengan manhaj para ulama muktabar.
Ini termasuklah tarekat-tarekat yang diiktiraf seperti Tarekat al-Naqshabandiyyah, al-Qadiriyyah, al-Shazuliyyah, al-Rifa’iyyah, al-Ahmadiyyah al-Idrisiyyah, al-Sammaniyyah, dan Ba’ Alawiyyah.
Pada masa sama, katanya, tindakan tegas perlu diambil untuk menolak ajaran sesat yang menyalahgunakan nama Tasawuf sebagai perlindungan, termasuk ajaran Syiah, Ismailiyyah Batiniyyah, dan Ibahiyyun.
“Ini termasuklah mereka yang mengaku sebagai nabi, menafikan syariat yang telah pasti, menghalalkan yang haram dengan tanpa sebarang khilaf, atau berpegang kepada kepercayaan-kepercayaan yang menyimpang jauh dan tergelincir daripada landasan Ahli Sunnah Waljamaah, berdasarkan neraca al-Ash’ariyyah dan al-Maturidiyyah,” tegasnya.
Sementara itu, beliau mencadangkan agar Jabatan Mufti Perak mengeluarkan fatwa khusus untuk melindungi ilmu tasawuf dan mencegah tindakan membidaah atau menyesatkan amalan-amalan tasawuf yang sahih.
“Ini termasuklah amalan seperti zikir, selawat, munajat, suluk, hadrah, tabarruk, rabitah, tawassul, istighathah, ilham, yaqazah, kalam-kalam ulama sufi yang agung, konsep keawalan Nur Muhammad, martabat tujuh, Wahdah al-Wujud yang muwahhid (yang sesuai dengan akidah tauhid, bahawa Khaliq adalah berbeza daripada makhluk) dan bukannya Wahdah al-Wujud yang mulhid (yang menyimpangkan maknanya, dengan mendakwa Tuhan dan alam adalah satu entiti yang sama).
“Lebih-lebih lagi, perkara ini telah dibahaskan secara mendalam oleh para ulama Ahli Sunnah Waljamaah dalam kitab-kitab mereka, seperti yang dilakukan oleh Syeikh Abd al-Samad al-Falimbani,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Jabatan Agama Islam Perak perlu sentiasa prihatin dan proaktif dalam menguatkuasakan fatwa-fatwa ini demi menjaga kesucian dan ketulenan ilmu tasawuf. – UTUSAN