PETALING JAYA: Seorang suri rumah memberitahu Mahkamah Sesyen di sini ibu Zayn Rayyan Abdul Matiin tidak menunjukkan sebarang reaksi pada waktu yang dikatakan kanak-kanak autisme itu hilang.
Saksi ke-16, Rashidah Rajali, 37, berkata, dia melihat keadaan itu ketika berselisih dengan Ismanira Abdul Manaf itu sebanyak dua kali pada tengah hari, 5 Disember 2023 lalu.
“Saya ada tengok muka dia tetapi tidak bercakap. Dia tiada reaksi apa-apa,” katanya.
Jelas saksi itu, dia berselisih dengan Ismanira buat pertama kali di tangga Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai pada pukul 12.15 tengah hari ketika menghantar anaknya ke sekolah.
Kali kedua mereka berselisih adalah pada untuk kali kedua pada pukul 12.35 tengah hari.
Mengikut pertuduhan, Pada 13 Jun tahun lalu, Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari telah mengabaikan Zayn Rayyan di antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga pukul 9.55 malam, keesokan harinya.
“Pada lebih kurang pukul 12.15 tengah hari, saya turun hantar anak pertama ke sekolah, saya terserempak dengan ibu Zayn Rayyan di tangga. Dia beri laluan kepada saya untuk turun.
“Pada pukul 12.35 tengah hari, saya berselisih dengan ibunya yang hendak turun dari tingkat satu, semasa saya dalam perjalanan naik ke atas,” katanya.
Dalam pada itu, Rashidah juga mengatakan Ismanira memakai pakaian yang berbeza semasa berselisih buat kali kedua.
Raja Zaizul Faridah: Masa puan jumpa mula-mula, puan ingat atau tidak pakaian?
Rashidah: Ingat, dia pakai tudung warna hitam, baju warna putih. Saya tidak pasti dia pakai kain atau palazo tetapi berwarna hitam.
Raja Zaizul Faridah: Kali kedua, puan ingat atau tidak dia pakai baju apa masa jumpa pukul 12.35?
Rashidah: Saya tidak ingat keseluruhan tapi dia pakai tudung bercorak yang berwarna sedikit gelap.
Raja Zaizul Faridah: Adakah pakaian yang sama dengan jumpa masa pukul 12.15?
Rashidah: Tidak, lain.
Raja Zaizul Faridah: Ada nampak dia bawa apa-apa?
Rashidah: Tidak, hanya bawa beg silang.
Pada prosiding sebelum ini, saksi pendakwaan keempat, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, 33, berkata Ismanira dalam rakaman percakapannya menyatakan pada hari kejadian anaknya hilang, dia memegang barang yang baru dibeli di tangan kanan dan kiri ketika menaiki tangga untuk pulang ke rumah.
Nina Syamimi dalam keterangannya turut memberitahu mahkamah bahawa semasa rakaman percakapan diambil, Ismanira menyatakan semasa pulang ke rumah, Zayn Rayyan tidak mahu pulang ke rumah kerana mahu bermain buaian.
Bagaimanapun pada prosiding hari ini,saksi itu memberitahu, sepanjang dia tinggal di apartment berkenaan sejak 2013, dia tidak pernah melihat Zayn Rayyan bermain di taman permainan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung esok. – UTUSAN