PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini semalam diberitahu ibu kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin iaitu Ismanira Abdul Manaf seperti tiada perasan semasa rakaman percakapan berhubung kehilangan anaknya direkodkan di kawasan berhampiran Blok R, Apartment Idaman.
Menurut saksi pendakwaan keempat, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, 33, wanita terbabit juga tidak menjawab beberapa soalan dikemukakan olehnya dan gagal memberi sebarang reaksi sepanjang pertanyaan dikemukakan terhadapnya.
“Semasa rakaman percakapan diambil, saya ada tanyakan beberapa soalan kepada pengadu (Ismanira) namun dia tidak menjawab pertanyaan saya. Keadaan pengadu ketika itu seperti kosong seolah tiada perasaan,” kata saksi itu semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz.
Peguam bela, Ramzani Idris yang mewakili kedua-dua tertuduh membantah keterangan saksi berkenaan kerana ia dirakam di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
Peguam terbabit kemudian memohon salinan rakaman percakapan tersebut dibekalkan kepada pihaknya dan mahkamah membenarkan permohonan tersebut.
Terdahulu, Nina Syamimi memaklumkan, dia menerima laporan daripada Ismanira berhubung kehilangan anaknya pada pukul 5.51 petang, 5 Disember 2023 ketika sedang menjalankan siasatan kes lain di Hospital Sungai Buloh.
Katanya, makluman berhubung laporan itu diterima menerusi panggilan telefon dari Balai Polis Sri Damansara mengenai kehilangan kanak-kanak autisme tersebut.
“Saya meminta untuk bercakap dengan pengadu melalui panggilan telefon. Semasa bercakap dengan pengadu, saya ada bertanya beberapa soalan kepada pengadu iaitu sejak bila orang hilang (OH) hilang.
“Kemudian, pengadu memaklumkan anaknya merupakan pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) autisme dan telah hilang sejak pukul 12 tengah hari pada tarikh sama, 5 Disember 2023,” katanya.
Selain itu, Nina berkata, sekitar pukul 7 petang pada tarikh sama, dia ada menerima panggilan telefon daripada ketua blok Apartment Idaman yang memaklumkan seorang kanak-kanak ada terlihat kelibat Zayn Rayyan yang difahamkan berkeliaran di sekitar Blok R apartment itu.
Katanya, setelah menerima maklumat itu, dia telah menghubungi pengadu (Ismanira) dan memintanya untuk pulang ke rumah dan berjumpa dengan ketua blok berkenaan.
“Semasa saya minta pengadu pulang ke rumah Apartment Idaman di Damansara Damai, pengadu berkeras untuk berjumpa dengan saya dahulu di pejabat dan kemudian saya bercakap dengan suami kepada pengadu. Suami pengadu telah meninggikan suara untuk berjumpa dengan saya di pejabat,” katanya.
Mereka bagaimanapun berjumpa di kawasan Blok R apartment terbabit.
Prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung semula hari ini.
Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa dan mengaku tidak bersalah mengabaikan anak mereka.
Mengikut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, pasangan tersebut didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.-UTUSAN