PUTRAJAYA: Seorang ibu tiga anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdaya seorang lelaki dan anak perempuannya membabitkan kerugian bernilai RM15,000, bulan lalu.
Tertuduh, Nursyafiqah Hermansah, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu dua beranak itu dengan cara memperdayakan mangsa untuk menyerahkan wang masing-masing berjumlah RM5,000 melalui akaun Touch N Go E-Wallet dan RM10,000 secara tunai untuk urusan suntikan modal perniagaan minyak diesel yang tidak wujud.
Oleh itu, tertuduh memperdayakan mangsa untuk membuat bayaran kepadanya yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Vista 2/13, Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi pada 26 dan 27 Januari lalu.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pendakwaaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Faraheen Yahya menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Azhar Nik Adib yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum atas alasan tertuduh bekerja sendiri dan mempunyai pendapatan yang tidak menentu, selain mempunyai tiga anak.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 April depan bagi serahan dokumen. – UTUSAN