JOHOR BAHRU: Golongan ibu bapa dan penjaga diminta mengawasi pemakanan anak jagaan mereka khususnya melibatkan makanan ringan agar kejadian kanak-kanak maut akibat tercekik gula-gula gummy eye ball tidak berulang.
Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Mohtar Pungut berkata, peringatan itu diberi kepada golongan tersebut kerana pihaknya tidak mempunyai kuasa menghalang penjaga menjual produk berkenaan.
Katanya, golongan peniaga boleh menjual apa-apa produk selagi ia tidak melanggar undang-undang tempatan.
“Kita tidak dapat menghalang peniaga untuk menjual sesuatu produk yang dibenarkan, itu rezeki mereka sebaliknya penjaga bertanggungjawab memastikan keselamatan pemakanan anak jagaan mereka.
“Kejadian seperti ini (tercekik makanan) bukan hanya melibatkan produk gummy sahaja, buah Melaka kalau makan pun boleh tercekik juga, jadi kita yang perlu mainkan peranan pastikan keselamatan semua,” katanya selepas menyempurnakan Sambutan Hari Pendengaran Sedunia Peringkat Negeri Johor di Zoo Johor, di sini hari ini.
Dua hari lalu, media melaporkan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang sebelum ini dilaporkan kritikal akibat tercekik gula-gula gummy eye ball telah meninggal dunia.
Mangsa, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin dipercayai membeli dua biji gula-gula gummy di sebuah gerai sebelum sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di sebuah sekolah kebangsaan di Butterworth, Selasa lalu.
Difahamkan, ketika kejadian kira-kira pukul 2.30 petang, mangsa tercekik coklat tersebut dan mengalami kesukaran bernafas sebelum rebah secara tiba-tiba. – UTUSAN