SUBANG JAYA: Seorang wanita bersama anaknya berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan SS 19/1C, SS19, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 pagi itu, kedua-dua mangsa yang terperangkap di tingkat atas rumah berjaya diselamatkan anggota bomba sebelum dihantar ke hospital akibat sesak nafas.
Pusat Gerakan Operasi Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.15 pagi dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba tiba lima minit kemudian dan mendapati kebakaran membabitkan ruang tamu rumah seluas 20×40 kaki persegi yang melibatkan perabot seperti sofa dengan dua mangsa iaitu seorang ibu dan anaknya terperangkap di tingkat atas, namun berjaya diselamatkan oleh anggota bomba yang bertindak pantas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 9.32 pagi sebelum operasi pemadaman tamat sepenuhnya manakala magsa yang mengalami sesak nafas diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Komander operasi, Pegawai Bomba Kanan II Ismail Yusof, mengetuai operasi tersebut dengan kekuatan lapan anggota serta dua jentera jenis Fire Rescue Tender (FRT) dan Light Fire Rescue Tender (LFRT).-UTUSAN