Hujahan notis usul batal pertuduhan abai Zayn Rayyan 25 Februari depan

Hujahan notis usul batal pertuduhan abai Zayn Rayyan 25 Februari depan

ZAIM IKHWAN dan Ismanira ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, hari ini.-FOTO/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan 25 Februari depan bagi mendengar hujahan notis usul ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin yang memohon pembatalan pertuduhan mengabaikan kanak-kanak austistik itu.

Hakim Roszianayati Ahmad memutuskan perkara itu bagi meneliti hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.

“Mahkamah berharap semakan, afidavit dan hujahan (pembelaan) itu kelak dibuat secara bertulis berbanding lisan. Ini bagi memudahkan pihak responden (pendakwaan) membalas dan saya arahkan kedua-dua pihak berhujah pada 25 Februari ini,” katanya pada prosiding pengurusan kes itu.

Terdahulu, mahkamah turut tidak membenarkan permohonan lisan pembelaan bagi menangguhkan perbicaraan kes  sebelum notis usul itu diputuskan. 

Peguam Haresh Mahadevan memaklumkan permohonan itu perlu bagi menjaga integriti permohonan notis usul dan mengambil kira tekanan yang timbul ketika perbicaraan berlangsung. 

Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz bagaimanapun membantah kerana pihak pembelaan telah memfailkan permohonan semakan semula Jumaat lalu selepas pernah ditolak sebelum ini. 

Semalam, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menolak bantahan awal pihak pembelaan yang menyatakan pertuduhan ke atas pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu adalah defektif atau cacat.

Mereka memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 21 Januari lalu bagi membatalkan pertuduhan itu yang tidak mendedahkan sebarang kesalahan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada 13 Jun tahun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah atas  pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya