PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan hubungan strategik di antara Malaysia dan Vietnam adalah sangat penting dan ia perlu diperkukuhkan demi manfaat kedua-dua negara.
Perdana Menteri menjelaskan, pertumbuhan pesat ekonomi di Vietnam juga banyak memberikan pengajaran dan inspirasi kepada Malaysia.
Beliau melakukan lawatan kerja dua hari ke negara anggota ASEAN itu bermula semalam dan turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam di ibu pejabat parti berkenaan di Hanoi.
“Kami menyentuh kepentingan dalam memperluas kerjasama dalam bidang digital, kecerdasan buatan (AI), serta aktiviti perikanan.
“Saya turut menzahirkan penghargaan terhadap pertumbuhan pesat ekonomi Vietnam, yang banyak memberikan pengajaran dan inspirasi kepada Malaysia.
“Kita boleh belajar daripada kejayaan Vietnam dalam meneroka teknologi baharu dan sektor tenaga yang mampan,” katanya menerusi akaun media sosial miliknya semalam.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau juga menghargai dukungan Vietnam terhadap kepemimpinan Malaysia yang kini mengetuai ASEAN.
“Dukungan berterusan daripada Vietnam amat penting bagi memastikan ASEAN kekal kuat dan berjaya dalam mencapai matlamatnya.
“Hubungan strategik antara Malaysia dan Vietnam tentunya telah menjadi keutamaan negara, terutamanya selepas lawatan terakhir TYT (To Lam) ke Malaysia,” kata beliau.
Tambah Perdana Menteri, dalam pertemuan itu juga, beliau dan To Lam turut mencapai persetujuan dalam aspek perkongsian maklumat perisikan serta kerjasama ketenteraan.
“Ia satu langkah penting dalam memastikan kestabilan dan keselamatan serantau.
“Dalam isu penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN, saya menghargai garapan Vietnam terhadap sejarah negara itu dan mendukung sepenuhnya akses mereka ke dalam ASEAN,” tambahnya. – UTUSAN