JEMPOL: Seorang bekas guru ganti yang maut dalam nahas tiga buah kenderaan di Kilometer 6, Jalan Bahau-Rompin, di sini, malam semalam sememangnya rapat dengan bekas anak muridnya termasuk tiga remaja yang turut meninggal dunia dalam kemalangan tersebut.
Dalam nahas kira-kira pukul 9.05 malam itu, bekas guru tersebut, Mohd. Najmuddin Shapie, 31 yang memandu kereta Perodua Axia dan bekas anak muridnya yang merupakan penumpang kereta, iaitu Haziq Hakimi Mahindra, 19 dan Muhammad Danish Iskandar Muhammad Faidzul, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang lagi mangsa, yang juga adik kepada Muhammad Danish Iskandar iaitu Muhammad Adi Putra Muhammad Faidzul, 16, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah.
Kakak kepada Mohd. Najmuddin, Nurfatin Farhanah Shapie, 35, memberitahu, adiknya itu seorang yang peramah dan rapat dengan ketiga-tiga mangsa lain yang merupakan bekas anak murid arwah adiknya itu ketika mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alam Beraja, Felda Palong 11, Gemas.
“Keluarga bekas anak murid arwah juga pun tahu mereka keluar bersama. Malam tadi mereka dalam perjalanan ke pekan Bahau untuk makan.
“Mereka memang rapat, walaupun adik saya kini sudah tidak menjadi guru ganti dan bertugas sebagai Imam Surau Ladang FGV Palong 18 namun hubungan mereka masih rapat,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Jempol di sini.
Sementara itu, ibu kepada Haziq Hakimi, Noraini Yusof, 40, berkata, arwah anaknya itu sudah tamat persekolahan namun masih berhubungan baik dengan guru terbabit yang dipanggil ustaz.
“Ustaz ini jugalah yang bantu saya serta suami jika kami tidak sempat menghantar Haziq Hakimi menjalani rawatan dialisis akibat sakit buah pinggang, hubungan mereka memang baik,” katanya.
Seorang lagi yang maut dalam nahas itu ialah Lim Kwang Poh, 51, yang merupakan pemandu kereta Toyota Mark X.
Terdahulu media melaporkan lima individu maut termasuk seorang guru dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 6 Jalan Bahau-Rompin, di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian kira-kira pukul 9.05 malam itu membabitkan sebuah kereta Perodua Axia, sebuah kereta jenis Toyota Mark X dan sebuah pikap jenis Ford Ranger.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku semasa kereta Perodua Axia yang dipandu oleh seorang lelaki bersama tiga orang penumpang dari arah Rompin menuju ke Bahau.
“Setiba di lokasi kejadian semasa sedang bergerak terus, tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Toyota Mark X yang dipandu lelaki berusia 51 tahun telah masuk ke laluan bertentangan dan terus bertembung secara berhadapan dengan kenderaan Perodua Axia sehingga kereta tersebut berpusing.
“Kemudian, datang sebuah pikap yang dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun dari arah belakang telah terlanggar bahagian hadapan sebelah kanan kereta Perodua Axia tersebut.
“Akibat daripada kemalangan pemandu Perodua Axia bersama dua orang penumpang serta pemandu Toyota Mark X cedera parah di kepala serta kaki dan meninggal dunia di lokasi manakala seorang lagi penumpang belakang Perodua Axia meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital,” katanya.
Dalam pada itu, Chang Hook berkata, pemandu kenderaan pikap tidak mengalami apa-apa kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN