JEMPOL: Seorang bekas guru ganti yang maut dalam nahas tiga buah kenderaan di Kilometer 6, Jalan Bahau-Rompin, di sini, semalam sememangnya rapat dengan bekas anak muridnya termasuk tiga remaja yang turut meninggal dunia dalam kemalangan tersebut.
Dalam nahas kira-kira pukul 9.05 malam itu, bekas guru tersebut, Mohd. Najmuddin Shapie, 31 yang memandu kereta Perodua Axia dan bekas anak muridnya yang merupakan penumpang kereta, iaitu Haziq Hakimi Mahindra, 19 dan Muhammad Danish Iskandar Muhammad Faidzul, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang mangsa, yang juga adik kepada Muhammad Danish Iskandar, Muhammad Adi Putra Muhammad Faidzul, 16, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah.
Kakak Mohd. Najmuddin, Nurfatin Farhanah Shapie, 35, memberitahu, adiknya peramah dan rapat dengan ketiga-tiga mangsa lain yang merupakan bekas anak murid arwah adiknya itu ketika mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alam Beraja, Felda Palong 11, Gemas.
“Keluarga tahu mereka keluar bersama dan malam tadi mereka dalam perjalanan ke pekan Bahau untuk makan.
“Walaupun arwah tidak menjadi guru ganti dan bertugas sebagai Imam Surau Ladang FGV Palong 18 namun hubungan mereka rapat,” katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Jempol di sini.
Ibu kepada Haziq Hakimi, Noraini Yusof, 40, berkata, arwah anaknya sudah tamat persekolahan namun masih berhubungan baik dengan guru terbabit yang dipanggil ustaz.
“Ustaz ini juga sering membantu kami menghantar Haziq Hakimi menjalani dialisis,” katanya.
Seorang lagi maut dalam ialah Lim Kwang Poh, 51, yang merupakan pemandu kereta Toyota Mark X.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian pukul 9.05 malam itu membabitkan kereta Perodua Axia, sebuah kereta jenis Toyota Mark X dan pikap Ford Ranger.
Kejadian berlaku semasa kereta Perodua Axia dipandu seorang lelaki bersama tiga orang penumpang dari arah Rompin menuju ke Bahau.
“Tiba di lokasi kejadian semasa sedang bergerak terus, tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Toyota Mark X dipandu lelaki berusia 51 tahun, masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung secara berhadapan dengan kenderaan Perodua Axia mengakibatkan kereta berpusing.
“Kemudian, datang sebuah pikap dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun dari arah belakang, terlanggar bahagian depan kanan kereta Perodua Axia tersebut.
“Pemandu Perodua Axia bersama dua penumpang dan pemandu Toyota Mark X cedera parah di kepala dan kaki, meninggal dunia di lokasi, seorang penumpang belakang Perodua Axia meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital,” katanya.
Pemandu kenderaan pikap tidak mengalami apa-apa kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN