KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua pihak supaya menghormati proses dan undang-undang yang ditetapkan berkaitan Titah Adendum.
Titah baginda, Titah Adendum adalah perkara yang berada dalam bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dan berintegriti.
“Oleh itu, semua pihak perlu menghormati proses dan undang-undang yang ditetapkan serta tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dan retorik,” titah baginda ketika berkenan berangkat pada Majlis Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Al-Sultan Abdullah turut menyeru semua pihak supaya berpegang teguh kepada nilai kejujuran, amanah, saling menghormati dan bersikap terbuka dalam menyelesaikan sesuatu perkara.
“Dengan semangat ini, Insya-Allah Pahang terus menjadi negeri yang harmoni dan sejahtera,” titah baginda.
Terdahulu media melaporkan, Mahkamah Tinggi menetapkan 28 April ini bagi pendengaran permohonan perintah larangan bersuara oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan kewujudan dokumen tambahan yang membolehkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan di rumah.
Pada 20 Januari lalu, AGC telah memfailkan secara rasmi permohonan larangan bersuara bagi menghalang mana-mana pihak termasuk media untuk memperkatai mengenai Titah Adendum yang menyentuh mengenai penahanan bekas perdana menteri itu di rumahnya sehingga habis hukuman penjara. – UTUSAN