PETALING JAYA: Kumpulan pakar masih tidak dapat mengenal pasti adakah varian baharu koronavirus atau HKU5-CoV-2 yang dikesan di China sudah merebak dalam kalangan penduduk negara itu atau di peringkat global.
Justeru, tiada keperluan untuk rakyat negara ini menjalankan ujian saringan.
Pakar Kesihatan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, meskipun virus tersebut berpotensi menjangkiti manusia, tiada bukti menunjukkan ia telah merebak dalam kalangan penduduk di China atau di negara lain.
Katanya, virus baharu itu ditemui menerusi kajian yang melibatkan kelawar, haiwan yang sebelum ini dikaitkan dengan penularan wabak Covid-19.
“HKU5-CoV-2 mempunyai beberapa persamaan dengan Covid-19 termasuk pada reseptornya yang berkemungkinan menyebabkan jangkitan kepada manusia.
“Bagaimanapun, setakat ini belum ada kepastian sama ada virus ini benar-benar boleh menjangkiti manusia apatah lagi menyebabkan kadar kematian tinggi seperti Covid-19,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, media melaporkan, penemuan varian baharu koronavirus atau HKU5-CoV-2 yang dipercayai berpotensi merebak melalui manusia di China bukan sesuatu yang baharu dan perlu dibimbangkan kerana koronavirus ada dalam hampir semua haiwan.
Mengulas lanjut, Sharifa Ezat berkata, tahap imuniti sedia ada dalam kalangan masyarakat global termasuk rakyat Malaysia yang telah menerima vaksin Covid-19 boleh menjadi faktor perlindungan awal.
Beliau berkata, vaksin sedia ada berkemungkinan dapat memberikan perlindungan terhadap ancaman virus baharu itu sekiranya ia menular ke negara ini.
“Kebanyakan rakyat kita telah menerima vaksin Covid-19, bukan sahaja dos primer tetapi juga dos penggalak. Oleh itu, vaksin sedia ada mungkin memberikan perlindungan sekiranya virus ini tersebar ke Malaysia.
“Namun, buat masa kini, tiada bukti bahawa virus ini telah sampai ke negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kebanyakan virus seperti itu bersifat zoonotik yang boleh merebak daripada haiwan kepada manusia.
Justeru, katanya, langkah pencegahan asas seperti membasuh tangan secara kerap, mengelakkan sentuhan dengan permukaan yang mungkin tercemar serta memakai pelitup masih perlu diutamakan khususnya bagi individu yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak.
“Bagi mereka yang mempunyai keperluan untuk ke China, dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan kesihatan di sana. Kebiasaannya, pihak berkuasa kesihatan akan mengeluarkan maklumat serta notifikasi mengenai sebarang penyakit baharu.
“Selain itu, individu yang ingin melancong atau menjalankan perniagaan di luar negara khususnya ke China, digalakkan untuk mendapatkan vaksin bagi penyakit pernafasan lain seperti influenza dan Covid-19 sebelum berlepas,” katanya. – UTUSAN