LIPIS: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu kesukaran yang terpaksa ditempuh sebuah keluarga di Kampung Putu, Mukim Cheka di sini apabila ketua keluarga itu terpaksa berhenti kerja akibat penyakit kencing manis kronik.
Mohamad Izani Mohd. Rozi, 48, berkata, sebelum ini dia bekerja di sebuah lombong emas di daerah ini sebelum berhenti kerja akibat penyakit tersebut.
“Saya menjalani pembedahan di bahagian kaki pada bulan Julai tahun lalu dan sejak itu tidak mampu lagi bekerja. Saya mendapat pembayaran Perkeso tapi dibayar lima bulan sahaja.
“Kini saya tidak ada lagi sumber pendapatan dan segala keperluan serta perbelanjaan keluarga bergantung sepenuhnya pada anak kedua yang bekerja sebagai penghantar barang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohamad Izani berkata, dia mengalami bengkak pada bahagian kaki kiri dan luka sehingga menyebabkan jangkitan kuman.
Katanya, dia juga demam beberapa hari sebelum ahli keluarga membawanya ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan.
“Doktor yang merawat saya memaklumkan kencing manis sudah kronik sebelum meminta keizinan untuk memotong kaki sehingga paras lutut bagi mengelakkan berlakunya jangkitan kuman ke bahagian lain.
“Selepas mendengar cadangan doktor itu, saya rasa serba salah. Selepas berfikir panjang saya minta doktor tangguhkan dulu memotong kaki dan minta mereka mencuci kaki saya.
“Sebahagian isi bahagian kaki perlu dibuang sehingga menampakkan tulang, jadi saya hanya mampu baring kerana kesan luka besar,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Public Bank, 6929816820. – UTUSAN