KUALA SELANGOR: Mayat seorang wanita ditemukan di Pantai Remis, di sini awal pagi ini setelah dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 31 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azharudin Tajudin berkata, mayat tersebut di dalam sebuah kereta Proton Saga berwarna kelabu yang berkunci di tempat meletak kereta di pantai berkenaan, lebih kurang pukul 2 pagi.
“Lebih kurang pukul 2 pagi, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor telah menerima panggilan daripada anggota MPV yang mana semasa rondaan di Pantai Remis telah menemui satu mayat manusia jantina perempuan.
“Kesemua pintu kereta berkenaan berkunci dari dalam. Pintu kereta telah dibuka dengan bantuan anggota bomba bagi mengeluarkan mangsa,” katanya pada hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan awal polis mendapati tiada kecederaan pada mayat tersebut.
Mayat telah dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan setakat ini, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut (SDR).
“Hasil semakan mendapati mayat yang dijumpai adalah adik pengadu yang telah dilaporkan hilang pada 31 Januari lalu di Damansara. Kali terakhir (wanita itu) dilihat ahli keluarganya pada 29 Januari pukul 10 pagi.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi bilik gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-3289122 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. – UTUSAN