IPOH: Rutin biasa kehidupan masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Tonggang Ulu Kinta kekal seperti biasa meskipun sebelum ini digemparkan dengan kehadiran harimau belang di kawasan itu.
Ini susulan tular mesej berangkai dalam Whatsapp yang mendakwa penduduk ternampak ‘Pak Belang’ berdekatan sungai di kampung tersebut.
Tok Batin Kampung Sungai Tonggang, Che Wan Alang berkata, mesej amaran kepada penduduk, pekebun serta pemancing yang tular pada pertengahan bulan lalu itu tidak mengubah rutin harian mereka.
“Penduduk kampung masih lagi melakukan urusan sendiri seperti biasa. Tiada perubahan dari segi rutin harian
“Namun langkah berhati-hati sentiasa diambil walaupun setakat ini penduduk kampungnya tidak lagi memaklumkan sebarang penampakan harimau belang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kampung itu terletak enam kilometer pendalaman dari pekan Tanjung Rambutan dan lebih 20 kilometer dari bandar Ipoh dengan terdapat kira-kira 453 orang penduduk di Kampung Tonggang dengan 137 ketua isi rumah yang terdiri daripada suku kaum Temiar dan majoritinya adalah beragama Islam.
Sebelum ini, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mendapati harimau belang yang dilaporkan menyerang ternakan penduduk di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan bulan lalu, telah kembali semula ke habitatnya di Hutan Simpan Kinta.
Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, tinjauan petugas Unit Harimau di lokasi terbabit mendapati kelibat harimau tersebut tidak lagi kelihatan.
Malah katanya, tiada aduan terbaru diterima berhubung kehadiran haiwan pemangsa itu di lokasi berkenaan.
Pihaknya percaya harimau itu telah masuk balik ke dalam Hutan Simpan Kinta namun tidak mustahil haiwan itu akan datang semula untuk mencari ternakan yang dibiarkan bebas meragut. – UTUSAN