MENJADI antara wanita yang sering mendapat pujian lantaran kecantikan dan baik sifat yang dimiliki, ramai yang tertanya-tanya adakah pelakon, pengacara dan model terkemuka , Scha Al Yahya mempunyai insecurities sendiri.
Nama juga manusia bukan, bagi Scha dia sentiasa dihantui perasaan kurang yakin dengan diri sendiri apatah lagi selepas melahirkan dua orang cahaya mata. Sebagai wanita, dia akui, banyak perubahan yang berlaku terhadap dirinya.
“Manusia banyak rasa kurang yakin, saya rasa bukan saya seorang sahaja. Bukanlah saya mahu terlihat sempurna setiap masa tetapi sebagai insan biasa, saya mahu sedap mata memandang.
“Terutama selepas bersalin, wanita banyak perubahan. Faktor umur juga memainkan peranan dalam kita meyakinkan diri sendiri. Tetapi bila sudah lama dalam industri seni, saya tidak mahu fokus dengan semua itu.
“Saya sentiasa dambakan perubahan terutama dari segi kerja. Kalau sesi fotografi, saya mahukan konsep dan look berbeza. Bagi saya, kita perlukan sesuatu yang lebih segar dalam setiap apa yang kita buat,” ujarnya.
Lantas soalan menarik pelakon Awan Dania ini ke situasi beberapa pemain industri seni yang pernah berhadapan ejekan dan body-shaming. Seolahnya, setiap anak seni perlu kelihatan sempurna tanpa cela.
Lihat sahaja rakan-rakan artis yang pernah diejek lantaran mempunyai saiz badan besar, kulit yang tidak putih gebu dan mungkin mempunyai parut di wajah. Semua itu menjatuhkan lagi keyakinan diri berhadapan manusia.
“Perkara ini sangat toksik. Kita semua sedar dengan keburukan mengejek dan merendahkan orang lain tetapi ada yang tetap memilih untuk lakukan itu. Bagi mereka, itu sekadar gurauan sahaja.
“Tetapi perkara ini harus dihentikan sebab sudah lama bersarang dalam industri seni. Kita kenalah lebih sensitif. Setiap kita ada kekurangan diri, tiada yang sempurna. Jangan jadikan ejekan sebagai gurauan,” ujarnya.
Kongsi isteri kepada pengacara, Awal Ashaari ini lagi, perkara ini harus dibendung sejak awal zaman persekolahan terutama ketika kanak-kanak menginjak ke alam remaja. Ibu bapa harus memainkan peranan.
“Saya sendiri selalu ajar anak-anak untuk tidak menyifatkan seseorang dengan saiz badan, warna kulit atau lain-lain. Walaupun tiada niat jahat, tetapi bayangkan jika ada yang cakap ala si gemuk itu.
“Jangan mulakan sesuatu yang tidak elok. Saya selalu tegur anak-anak untuk tidak melukakan hati orang dengan mengejak dan menyentuh perkara sensitif.
“Lebih-lebih lagi anak seni. Kita mempunyai pengaruh dan platform untuk hentikan isu buli antara satu sama lain,” kongsinya.
SHAWL PUBLIKA X SETH & LUNA
Bercakap soal kerjaya, Scha yang ditemui ketika majlis pelancaran koleksi raya, Slay-Sa Raya Shawl Publika x Seth & Luna itu mengakui selesa untuk meneruskan kolaborasi bersama jenama itu untuk tahun kedua.
Jelas Scha, jalinan yang telah tercipta antara mereka membuatkan dia selesa dan memilih untuk meneruskan kolaborasi itu terutama selepas melihat sambutan peminatnya terhadap koleksi raya tahun lepas.
“Kalau orang perasan, saya memang senang untuk berkerja dengan satu jenama untuk setahun dua. Rezeki juga sudah ditetapkan Tuhan. Lagipun rekaan mereka benar-benar mencerminkan apa yang saya suka.
“Kali ini konsepnya berbeza. Material yang digunakan juga lebih sesuai sebab tidak perlu lining.Tetapi saya tidak masuk campur urusan rekaan, saya hanya model yang memperagakan koleksi ini.
“Kali ini Shawal Publika X Seth & Luna menampilakn 19 rekaan yang pastinya menambat hati pembeli. Rekaan moden dengan sentuhan tradisi, pemilihan material yang lebih inovasi dan detailing menambah seri,” ujarnya.