PETALING JAYA: Keputusan memberhentikan penubuhan anak syarikat baharu, dianggap sebagai strategi mengukuhkan sektor ekonomi negara.
Pensyarah Kanan di Sekolah Ekonomi dan Perniagaan Universiti Putra Malaysia, Dr. Ainatul Aqilah Kamarudin berkata, langkah itu berpotensi mengurangkan beban kewangan kerajaan dan memastikan sumber digunakan dengan lebih berkesan.
“Penubuhan anak syarikat baharu memberi kesan kewangan signifikan dan membebankan sumber kerajaan sekiranya tidak diuruskan dengan cekap.
“Keputusan ini menunjukkan kesedaran kerajaan untuk lebih berhati-hati dan berfokus dalam pembentukan syarikat, terutama yang tidak memberi pulangan menguntungkan atau berpotensi menambah beban kewangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin akhbar ini melaporkan semua agensi kerajaan tidak boleh lagi menubuhkan anak syarikat baharu tanpa kelulusan peringkat tertinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terlalu banyak syarikat berkaitan mencatatkan kerugian besar.
Ainatul berkata, dalam jangka pendek, pembubaran syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mengalami kerugian boleh mengakibatkan kehilangan pekerjaan dan ketidakstabilan dalam industri tertentu jika syarikat tersebut mempunyai pengaruh besar dalam pasaran.
Katanya, langkah drastik juga boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap iklim perniagaan negara jika pembubaran berlaku tanpa perancangan peralihan yang jelas.
Bagaimanapun, menyelamatkan GLC dengan dana awam pula boleh meningkatkan beban fiskal kerajaan dan memberi isyarat negatif kepada pasaran, kerana ia memperlihatkan ketidakcekapan pengurusan yang perlu ditanggung oleh rakyat.
“Dalam jangka panjang, pembubaran GLC boleh mencetuskan perubahan struktur ekonomi dan membuka peluang kepada syarikat yang lebih kompetitif dan efisien.
“Namun, sekiranya GLC yang dibubarkan memainkan peranan penting dalam sektor strategik, ia berisiko menyebabkan ketidakseimbangan ekonomi dalam jangka masa panjang,” ujarnya.
Mengulas mengenai implikasi menyelamatkan GLC, Ainatul berkata, dalam jangka pendek, langkah itu dapat mengekalkan pekerjaan dan memastikan kesinambungan perkhidmatan dalam sektor-sektor kritikal.
“Namun, tindakan itu juga boleh memberi tekanan kepada kewangan negara dan menyumbang kepada peningkatan defisit fiskal.
“Jika GLC tersebut gagal dipulihkan secara berkesan, kerajaan mungkin perlu terus menyuntik dana awam untuk memastikan kelangsungan syarikat,” jelasnya.
Ainatul berkata, penyeragaman agensi, membantu menghapuskan pertindihan fungsi, mengurangkan birokrasi dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan.
“Penyeragaman berpotensi mengurangkan kos operasi melalui konsolidasi sumber dan penggunaan sistem lebih seragam.
“Jika tidak dilaksanakan dengan bijak, penyeragaman mengakibatkan kekurangan fleksibiliti menangani keperluan khusus setiap agensi yang memberi kesan negatif terhadap produktiviti dan prestasi,” katanya. – UTUSAN