KUALA LUMPUR: Pegawai-pegawai perubatan kanan termasuk doktor pakar mempunyai tanggungjawab dalam mewujudkan suasana kerja yang kondusif bagi memastikan budaya buli di hospital dan klinik kesihatan dapat ditamatkan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) atau doktor pelatih kebiasaannya sering menjadi sasaran gejala buli yang berlaku di hospital.
“Sangat mustahak untuk kita mewujudkan apa yang diistilahkan sebagai just working environment (suasana kerja kondusif) di fasiliti-fasiliti kesihatan bukan sahaja di Kementerian Kesihatan sahaja.
“Untuk kita mewujudkan suasana di tempat kerja yang penuh empati, adil dan menghormati antara satu sama lain iaitu yang senior menghormati junior itu sangat mustahak. Peranan pegawai perubatan semua peringkat adalah sangat mustahak,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Ganabatirau Veraman (PH-Klang) mengenai mekanisme untuk mengekang budaya buli doktor pelatih dan jururawat serta tidak dieksploitasi oleh pegawai-pegawai atasan.
Dzulkefly berkata, walaupun Kementerian Kesihatan mempunyai pelbagai langkah khusus yang diwujudkan bagi menangani budaya buli di fasiliti-fasilitinya tetapi peranan dimainkan oleh pegawai-pegawai perubatan kanan itu lebih penting.
“Pada saya adalah mustahak untuk kita bertanggungjawab, khasnya ketua-ketua jabatan, perunding kanan, doktor pakar dan sebagainya untuk memastikan serta mewujudkan budaya kerja yang adil, saksama dan penuh empati.
“Ini supaya kita dapat lahirkan kerja berpasukan yang mantap, padu dan penuh belas ihsan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan menyasarkan melantik seramai 3,000 pegawai perubatan siswazah (PPS) atau doktor pelatih untuk ditempatkan di 49 Hospital Latihan Siswazah (HLS) di seluruh negara.
Kini pelantikan PPS dilaksanakan sebanyak enam kali setahun dengan sela masa dua bulan berbanding dengan tempoh menunggu lebih satu tahun pada sebelum ini.
Katanya, seramai 3,316 graduan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) pada tahun lalu sudah dilantik sebagai doktor pelatih dan ditempatkan di HLS seluruh negara.
“Bagi tahun ini, Kementerian Kesihatan menyasarkan akan melantik seramai 3,000 PPS yang akan ditempatkan di 49 HLS di seluruh negara.
“Bagi suku pertama tahun ini, Kementerian Kesihatan telah melantik secara kontrak seramai 1,114 Pegawai Perubatan gred UD9 untuk menjalani latihan siswazah di 49 HLS seluruh negara,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Ganabatirau Veraman (PH-Klang) berhubung jumlah doktor pelatih diserap pada 2024 dan jangkaan Kementerian Kesihatan pada tahun ini.
Beliau berkata, tiada doktor pelatih yang didapati meninggalkan kerjaya sebagai pegawai perubatan kerana kecewa dan terpaksa menunggu tempoh yang lama untuk ditempatkan di HLS.
“Dulunya betul, PPS sebelum 2016 diberi gred UD9 itu sebagai penjawatan tetap tetapi selepas itu kita mengambil pendekatan untuk memberikan mereka kontrak.
“Semasa penggal pertama saya iaitu 2019, kita ada lebih 6,300 bagi mereka yang balik sama ada dari tempatan atau luar negara tetapi pada hari ini mereka hanya 3,316. Penurunannya hampir 50 peratus.
“Itu adalah hakikat dan kenyataannya, mereka tidak meninggalkan kerjaya ini lagi sebab perlu menunggu,” katanya. – UTUSAN