Helikopter terhempas di Bentong, satu disahkan maut

Helikopter terhempas di Bentong, satu disahkan maut

Sebuah helikopter pengangkut jenis Bell 206L-4 Long Ranger terbakar ketika mendarat di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong di Pahang. -JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah helikopter pengangkut jenis Bell 206L-4 Long Ranger terbakar ketika mendarat di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong di Pahang dengan seorang disahkan maut, manakala seorang lagi terselamat.

Kejadian berlaku berdekatan kawasan kolam air panas ketika helikopter terbabit digunakan untuk kerja mengangkat bagi tujuan pemasangan kabel, dengan kebakaran menyebabkan pesawat musnah sepenuhnya.

Berdasarkan maklumat awal diterima, kebakaran berlaku sewaktu melakukan pendaratan, dengan helikopter tiba-tiba tidak dapat dikawal dan terbalik lalu terbakar.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar ketika dihubungi media.

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang memaklumkan, berdasarkan laporan saksi di tempat kejadian, sebuah helikopter jenis Bell 206L4 telah melakukan pendaratan di lokasi untuk tujuan pengisian bahan bakar. 

“Ketika berada di darat semasa melakukan pendaratan, helikopter telah hilang kawalan dan terbalik. 

“Akibat kejadian, seorang warga Indonesia iaitu juruterbang helikopter terselamat dan tidak mengalami kecederaan manakala seorang mangsa warga Indonesia yang merupakan jurutera telah meninggal dunia ketika berada di kawasan pendaratan disyaki akibat terkena bilah kipas helikopter. Helikopter terbabit telah terbakar dan musnah 100 peratus,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN